JOHOR BAHRU - Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam menahan tujuh lelaki kerana minum dan memproses air ketum dalam serbuan di tiga lokasi berasingan sekitar Plentong dan Taman Kota Masai, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, seorang daripada mereka merupakan bapa tiga anak berusia 33 tahun ditahan di rumahnya di Taman Saujana, Plentong.
"Polis menemukan empat botol air ketum selain pokok ketum yang ditanam di sekitar kediamannya.
"Jika dilihat pada daun pokok tersebut dianggarkan lebih daripada 100 botol air ketum dapat dihasilkan.
"Lelaki yang bekerja sebagai buruh kasar itu juga dipercayai menjadikan bangsal di depan rumahnya sebagai port meminum air ketum," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Katanya, selain untuk kegunaan sendiri polis percaya air ketum yang dihasilkan turut dijual kepada orang lain.
Menurutnya, menerusi serbuan di taman sama, pihaknya menahan empat lagi lelaki yang sedang leka meminum air ketum.
Menurutnya, dalam satu serbuan berasingan di Taman Kota Masai pula polis menyerbu sebuah stor kecil yang dijadikan tempat memproses air ketum.
"Dalam serbuan berkenaan, polis menahan dua lelaki yang cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis ketika sedang leka membungkus air ketum.
"Siasatan awal menemukan satu periuk besar yang dipenuhi daun ketum dan air ketum yang telah siap dibungkus," katanya.
Tambahnya, anggaran rampasan melibatkan 11 kilogram daun ketum dan 13 liter air ketum.
Kes katanya, disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.