Premis kecantikan dikompaun RM25,000 beroperasi ketika PKPD

Iklan
Sebuah premis kecantikan di Alor Setar dikompaun RM25,000 pada Isnin kerana beroperasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

ALOR SETAR - Sebuah premis kecantikan yang bukan dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu dikenakan kompaun RM25,000 pada Isnin setelah didapati beroperasi seperti biasa ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, premis berkenaan dikesan melakukan kesalahan dengan menjalankan perniagaan bukan perlu lebih kurang jam 2.15 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pasukan pemantau Op Covid Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar mengesan kesalahan tersebut ketika melakukan rondaan di sekitar pusat Bandaraya Alor Setar.

"Sehubungan itu, premis berkenaan dikompaun RM25,000 atas kesalahan tersebut.

Iklan

"Dalam operasi selama dua hari ini, sebanyak 13 kompaun dikenakan terhadap individu dan premis termasuklah premis kecantikan yang didapati masih ingkar dengan arahan dan SOP PKPD yang berkuat kuasa di daerah ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Ahmad Shukri, pihaknya juga mengesan kesalahan lain antaranya rentas daerah tanpa kebenaran yang sah daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa kesalahan lain berkaitan perlanggaran SOP PKPD.

Iklan

"Antaranya, dua individu masing-masing dikenakan kompaun setelah gagal mengemukakan dokumen rentas daerah dalam pemeriksaan mengejut di kawasan penutupan jalan sempadan antara Kota Setar dengan Pendang pada Selasa," katanya.

Mengulas lanjut Ahmad Shukri berkata, pihaknya turut memberi tumpuan kepada penguatkuasaan di laluan tikus memasuki daerah ini dan mendapati beberapa kenderaan dikesan cuba menyusup masuk ke daerah Kota Setar menggunakan laluan bendang.

"Beberapa kenderaan yang bertindak sedemikian semasa pemantauan dijalankan telah ditahan untuk tujuan pemeriksaan, yang mana dua lelaki telah dikenakan kompaun masing masing RM5,000 setelah gagal mengemukakan sebarang dokumen rentas daerah yang sah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Shukri berkata, bilangan kenderaan keluar masuk dalam kawasan PKPD Kota Setar didapati agak berkurangan sejak PKPD dilaksanakan.

"Bermula 19 Mei sehingga Ahad lepas, IPD Kota Setar dengan kerjasama PLUS mendapati hanya terdapat 32,712 buah kenderaan yang keluar dan masuk ke dalam kawasan PKPD Kota Setar dengan penurunan sebanyak 36.99 peratus berbanding 51,917 kenderaan sebelum pelaksanaan PKPD," katanya.

Tambah beliau, penguatkuasaan yang lebih ketat di daerah ini akan diteruskan bagi memastikan penularan wabak Covid-19 di daerah ini dapat diputuskan.

Ahmad Shukri berkata, beliau menyeru kepada masyarakat agar akur dengan PKPD bagi daerah Kota Setar untuk kebaikan semua.