KUALA LUMPUR - Pekerja pembersihan dan petugas keselamatan adalah petugas barisan hadapan yang harus dipercepatkan pemberian vaksin Covid-19.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, tanpa mengira warganegara atau tidak, sudah masanya untuk kerajaan menilai semula golongan yang dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan dalam memerangi Covid-19.
"Selain kakitangan perubatan, anggota pasukan penguat kuasa dan guru, mereka (pekerja pembersihan, petugas keselamatan) ini juga antara golongan yang mempertaruhkan nyawa mereka tatkala pandemik ini sedang mengganas," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau memberikan contoh peranan pekerja pembersihan di hospital yang sentiasa terdedah dengan wabak berkenaan susulan lokasinya terletak di kawasan berisiko tinggi.
"Sama juga seperti pekerja pembersihan di kawasan bandar, mereka ini sering menguruskan sampah-sampah berbahaya seperti pelitup muka terpakai.
"Bagi para petugas keselamatan pula, mereka bekerja sepanjang masa dan berinteraksi dengan orang ramai di dalam tugas mereka, sekali gus menjadikan mereka individu yang bekerja di dalam sektor berisiko tinggi," katanya.
Katanya, desakan untuk golongan berkenaan dikategorikan sebagai golongan barisan hadapan sudah dibangkitkan sejak awal pandemik lagi namun tidak diendahkan oleh pihak kerajaan.
"Sudahlah mereka tidak diberikan elaun RM600 yang diberikan kepada golongan barisan hadapan, vaksin juga mereka tidak dapat!
"Tidak kira warganegara atau tidak, sudah tiba masanya mereka ini dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan dan divaksinkan secepat mungkin! Adalah terlalu lambat bagi kita menunggu Fasa 3 untuk mereka divaksinasikan," katanya.