KAPTEN Harimau Malaya, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak berharap rakan sepasukannya dapat memperbaiki segala kelemahan dan berada dalam keadaan siap sedia sebelum bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun depan.
Selepas terpalit dengan kekalahan 1-4 kepada Kuwait dalam aksi pemanas badan di Dubai Ahad lepas, tonggak pertahanan tengah itu mahu semua pemain menggunakan tempoh seminggu ini dengan baik bagi menghadapi baki saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu.
Setelah tidak bermain dalam aksi kompetitif untuk tempoh 18 bulan sejak November 2019, pemain berusia 33 tahun itu juga mengakui terdapat banyak perkembangan baik dalam pasukan sejak menyertai kem latihan pusat bermula 16 Mei.
"Selepas seminggu saya latihan bersama, saya nampak banyak pembaharuan dan perkara positif dalam skuad,” katanya menerusi video yang dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Saya berharap dalam latihan hari-hari yang akan datang ini, kita lebih fokus dan beri komitmen penuh untuk pasukan, serta kita bersedia sepenuhnya untuk menentang UAE nanti,” kata Aidil di Dubai, sebelum berlepas ke Manama, Bahrain.
Sejurus tiba di Manama, pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu akan terus memulakan latihan sebelum menghadapi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu pasukan ranking ke-99 dunia, Bahrain di Stadium Nasional Bahrain, Riffa Jumaat ini.
Skuad negara yang berada di ranking ke-153 dunia, kemudian akan terbang semula ke Dubai menjelang baki tiga aksi Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan tersebut bertemu UAE (3 Jun), Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun 2021).
Kali terakhir skuad Harimau Malaya beraksi adalah ketika mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 Nov, 2019 pada kempen kelayakan tersebut, sebelum pandemik Covid-19 menyukarkan keadaan.
Dalam tempoh itu, pasukan negara hanya sempat menjalani latihan pusat selama tujuh hari di Johor Bahru pada Mac lalu.