Mengenang hari-hari sukar

Iklan
Petugas barisan hadapan yang keletihan. Realitinya, semua dalam keadaan susah mengikut cara masing-masing.

"BORANG apa ni cikgu?”

"Borang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).”

Iklan
Iklan

"Untuk apa?”

"Untuk kamu isi dan mohon bantuan bayar duit asrama.”

Iklan

Saya tidak akan lupa adegan itu sehingga ke akhir hayat. Satu adegan yang menggores hati dan membakar perasaan.

Peristiwa itu berlaku semasa saya dalam Tingkatan Dua dan ia berpunca daripada kekurangan hidup saya pada masa itu.

Iklan

Saya tidak pasti apakah keluarga saya termasuk dalam kategori miskin atau tidak, namun seperkara yang jelas kehidupan kami pada masa itu tidak mengenal erti senang.

Walaupun terharu dengan simpati guru Sobri, warden yang menawarkan borang JKM itu, namun jauh di dalam hati, saya berasa sedih dan terhina.

Ia membakar semangat saya untuk tidak membiarkan peristiwa itu berulang lagi. Saya bertekad untuk keluar daripada kesusahan itu dan tidak akan berkompromi dengan apa juga halangannya.

Sebetulnya saya lahir dan dibesarkan dalam sebuah keluarga yang sederhana. Bapa saya seorang guru.

Sama seperti pada dekad-dekad sebelumnya, pada sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, guru mempunyai kedudukan tersendiri yang boleh dikatakan istimewa di sisi masyarakat.

Anak guru sering dikaitkan sebagai ‘anak orang senang’ dan tanggapan umum itu masih kekal sehingga sekarang walaupun tidak setebal dahulu.

Bagaimanapun, hubungan arwah bapa saya dengan dunia perguruan tidak berpanjangan. Dia bersara awal.

Saya tidak tahu sebabnya tetapi saya percaya ia adalah dorongan untuk mencari penghidupan yang lebih baik kerana bermula dari tahun 1970-an, selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan, tahap kesedaran orang Melayu terhadap peluang-peluang ekonomi semakin tinggi.

Ramai orang Melayu berjinak-jinak dalamn dunia perniagaan, menyahut seruan kerajaan dan merebut peluang serta kemudahan yang disediakan.

Mungkin kerana pada masa itu takdir tidak menyebelahi keluarga kami, kehidupan menjadi agak sukar selepas ayah berhenti menjadi guru.

Pada masa itu kami tinggal di Kapar. Walaupun pada mata umum kehidupan kami mungkin kelihatan senang, namun hakikatnya kami boleh dikatakan tidak sesenang mana.

Saya pernah melihat emak menjual kacang goreng masin untuk menampung kehidupan walau pun hasil tidak seberapa.

Begitu sukarnya hidup sehingga seawal usia tujuh tahun, saya pernah membantu nenek menjual beras pulut hitam di pasar pagi yang diadakan pada setiap hari Sabtu di pekan Kapar. S

aya masih ingat, antara yang pernah singgah membeli beras pulut yang kami jual itu ialah Cikgu Samad, guru besar Sekolah Kebangsaan Kapar, kemudian-nya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sementa.

Kami hidup tidak kaya namun seperkara yang saya pelajari ialah semua ahli keluarga kami diasuh untuk menghadapi cabaran getir itu dengan tabah.

Kami tidak diajar untuk mengeluh dan merungut. Kesederhanaan menjadi kata kunci dalam menempuh kehidupan seharian.

Keyakinan pada janji ALLAH bahawa setiap usaha yang baik itu ada imbalannya menjadi pendorong untuk kami terus melangkah dengan berani.

Teruk Keadaan sebenarnya menjadi lebih teruk pada sekitar tahun 1986, saat di mana negara mengalami kemelesetan ekonomi yang serius.

Pada masa itu saya dalam Tingkatan Dua – tahun di mana saya ditawarkan borang JKM sebagaimana diceritakan pada awal artikel ini. Apatah lagi arwah abah hanya sebagai penulis petisyen dan adik-beradik semua sedang bersekolah.

Langit tidak selamanya mendung. Begitu juga dengan kehidupan keluarga kami. Selepas pertengahan 1980-an, segalanya berubah sedikit demi sedikit.

Kalaupun tidak terus disimbahi lampu, sekurang-kurangnya kami mula melihat cahaya di hujung terowong dan dari masa ke masa kami kian menghampiri cahaya itu.

Selepas sekian lama menghadapi kehidupan biasa yang sederhana tetapi jauh lebih baik daripada hari-hari sukar yang dilalui pada akhir 1970-an dan separuh pertama 1980-an dahulu, saya sekali lagi berdepan dengan cabaran getir apabila kalah pada Pilihan Raya Umum 2018.

Kekalahan di kerusi Parlimen Sungai Besar itu bukan sahaja menyebabkan saya hilang jawatan yang sebelumnya saya sandang tetapi juga hilang pendapatan.

Saya bukanlah ahli perniagaan. Saya tidak mempunyai syarikat yang boleh menyumbang sedikit sebanyak pendapatan tambahan setiap bulan. Saya tidak mempunyai tanah sawah yang luas terbentang. Tiada juga kebun atau ladang.

Satu-satunya sumber pendapatan saya hanyalah gaji dan elaun sebagai wakil rakyat, yang sebenarnya tidak banyak berlebih kerana sebahagian besarnya dikembalikan kepada kawasan dan parti melalui pelbagai gerak kerja.Saya menerima kekalahan itu dengan tenang walaupun menyedari hari-hari selepas itu kehidupan saya tidak akan sama seperti sebelumnya lagi.

Saya melayani semua orang, kawan rakan, penyokong dan rakyat Sungai Besar umumnya seperti biasa.

Saya mungkin tidak mampu menghulurkan bantuan material seperti dahulu, namun saya masih boleh memberikan sumbangan lain - masa, tenaga, buah fikiran dan lain-lain seumpamanya.

Tidak mudah bagi seorang bekas wakil rakyat mencari kerja, lebih-lebih lagi apabila negeri dan negara diperintah oleh pihak lain yang bertentangan pendirian politik dengannya.

Tiada siapa akan menawarkan kepada anda jawatan ahli lembaga pengarah agensi atau GLC, apatah lagi sebagai pengerusinya. Malah, untuk berurusan dengan anda pun, orang akan sangat berhati-hati.

Mereka takut kehadiran anda akan menutup peluang mereka mendapat projek daripada pemerintah.

Saya bernasib baik kerana mempunyai isteri yang bekerjaya. Tetapi sebagai lelaki, tergamakkah anda bergantung hidup kepada isteri?

Di mana maruah dan harga diri? Di mana amanah dan tanggungjawab? Soalan-soalan itu menyebabkan saya tidak pernah berhenti berusaha memberikan yang terbaik kepada keluarga kecil saya walaupun realitinya saya baru mengalami ‘kehilangan besar’.

Antara langkah awal yang saya ambil selepas kekalahan pada PRU itu adalah menstrukturkan semula perbelanjaan keluarga.

Berbelanja hanya pada yang perlu. Perkara pertama yang saya kurangkan perbelanjaan adalah memotong siaran TV satelit.

Lebihkan belanja dapur dan kurangkan makan di luar juga merupakan langkah penjimatan yang baik. Belanja untuk menyediakan ikan siakap kukus bersaiz sederhana mungkin sekitar RM15 sahaja tetapi ikan bersaiz yang sama harganya di restoran mungkin lebih RM40 seekor.

Dan tentulah kita tidak makan ikan itu sahaja, perlu ada sayur-mayurnya serta lauk-pauk lain sebagai iringan.

Dicampur dengan minuman, akan ‘koyak’ juga tujuh lapan puluh ringgit; jumlah yang cukup untuk menampung belanja pasar seminggu!Saya bernasib baik kerana kemudiannya ditawarkan menjadi penyelidik politik berpusat di Jakarta.

Ada jugalah pendapatan walaupun tidak boleh dianggap lumayan. Selain itu, apabila kembali ke tanah air, saya aktif menerbitkan buku dan menjual sendiri melalui program-program komunikasi politik yang saya adakan.

Untungnya tidak banyak tetapi lebih daripada cukup untuk membantu saya mengelak daripada menjadi ‘langau’ politik.

Yang lebih penting, ia membuka peluang kepada saya untuk membina rangkaian dan rantaian komunikasi dengan ramai orang, di merata tempat, di seluruh negara.

Kepayahan hidup dijangka bakal bertemu lagi akibat Covid-19. Suatu fenomena kepayahan yang kita tidak tahu bila akan berakhir.

Realitinya semua dalam keadaan susah mengikut cara masing-masing. Semua bertahan hidup dengan cara sendiri.

Begitulah. Dalam hidup ini perkara yang paling penting bukanlah apa yang terjadi kepada kita tetapi bagaimana kita menyesuaikan diri dengannya.

Harimau sekalipun akan mati kering jika hidupnya terlalu memilih daging. #dush!

*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan