SHAH ALAM - Kini bukan masanya untuk semua pihak berdebat mencari kesalahan dan kelemahan sebaliknya, seluruh rakyat perlu bersatu padu tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan politik ketika tempoh darurat kesihatan ini.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana jangkitan Covid-19 tidak mengenal mangsanya dan bentuk serangan virus terbabit yang sedang dihadapi sudah berubah.
Abdul Hadi berkata, Malaysia ketika ini bertindak menangani penularan wabak itu dengan menyediakan kumpulan barisan hadapan terdiri daripada pasukan perubatan sehinggalah pasukan polis dan tentera.
"Oleh kerana wujud perubahan perkembangan wabak dari masa ke masa di seluruh dunia, maka tindakan susulan dan perubahan tertentu terpaksa dilakukan bagi membendung situasi terkini.
"Saya membaca berita yang dilaporkan di media perdana dan sebahagiannya di media sosial, bahkan saya juga membaca apa yang tersurat dan tersirat di sebalik laporan berita tersebut.
"Sepatutnya semua pihak berperanan menyedarkan masyarakat seperti perlunya suntikan vaksin kerana Islam meletakkan turutan menjaga nyawa adalah wajib diutamakan sehingga dihalalkan perkara yang haram dalam ayat-ayat al-Quran," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, para ulama maqasid al-syariah menyenaraikan mengikut tertib keperluan hidup manusia yang wajib dijaga iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan maruah serta menjaga harta.
"Ayat yang disebutkan di atas meletakkan peranan agama bagi menentukan hukum bahawa menjaga nyawa itu hendaklah diutamakan melebihi perkara-perkara lain. Sehingga dihalalkan perkara yang haram, semata-mata ingin menjaga nyawa," katanya.
Beliau berkata, kaedah darurat juga terpakai kepada pihak polis yang menjalankan siasatan dan tentera yang sedang berperang maka sempadan kebebasan serta hak antara Islam dengan teori liberal Barat adalah berbeza.
Menurut Abdul Hadi, itu termasuklah apa yang berlaku hari ini telah mempengaruhi golongan ilmuwan Islam yang mengkaji Islam di Barat, sehingga terdapat dalam kalangan mereka terpengaruh dengan ajaran para orientalis.
"Wujud perkataan lain yang mempunyai persamaan maksud seperti perkataan keadilan, kebebasan, kemerdekaan dan hak asasi manusia akan tetapi konsep tersebut berbeza dari segi prinsip dan sempadan ditentukan oleh hukum Islam dengan teori barat.
"Maka, jangan mudah berkata-kata tanpa mempunyai ilmu khususnya dalam perkara agama," katanya.
Lebih-lebih lagi katanya, ketika keadaan darurat kerana ia boleh merosakkan imej agama sendiri dan membawa kemudaratan ke dalam masyarakat umum khususnya bagi menunaikan kewajipan dalam memelihara nyawa sebagaimana yang telah dinaskan dalam al-Quran dan hadis yang sahih lagi mutawatir.
"Para ulama khususnya para mufti perlu berijtihad secara berjemaah, jangan memberikan pendapat secara berseorangan kerana masanya tidak sesuai untuk menonjolkan diri masing-masing," katanya.
Abdul Hadi juga menegaskan bahawa sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk kempen politik bagi memperkecilkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun para menteri yang menjalankan tugas ketika tempoh darurat.
"Bahkan pada masa inilah, undang-undang darurat yang tegas demi menjaga nyawa manusia mesti dikenakan terhadap mereka yang tidak menghormati kepentingan masyarakat umum khususnya pengamal media yang menyalahgunakan kebebasan media dalam suasana seperti hari ini.
"Termasuklah agamawan yang menyanggah pelaksanaan perintah kuarantin, prosedur operasi standard (SOP) dan pengambilan vaksin sehingga menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat awam," katanya.