GEORGETOWN - Pasukan Polis Marin Pulau Pinang menahan seorang lelaki bersama 300 kilogram (kg) daum ketum dan 200 bungkus air ketum di sebuah rumah di Sungai Batu, Teluk Kumbar, di sini.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, lelaki tempatan berusia 34 tahun itu ditahan pada jam 7 petang, Selasa.
Menurutnya, dengan penahanan itu, polis berjaya menumpaskan satu aktiviti pemprosesan, penjualan dan penyimpanan air ketum di negeri ini.
"Sepasukan polis yang sedang menjalankan Op Benteng Covid telah memeriksa sebuah rumah di Teluk Kumbar yang didiami seorang lelaki. Ketika memperkenalkan diri, lelaki berkenaan mengaku sebagai pemilik rumah tersebut.
"Setelah pemeriksaan dijalankan di dalam rumah, kita menjumpai satu bungkusan hitam yang mengandungi kira-kira 300kg daun ketum dan 200 bungkus air ketum serta beberapa peralatan memproses dan memasak daun ketum," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, polis turut menyita sebuah lori dipercayai digunakan suspek untuk menghantar bekalan air ketum ke seluruh Pulau Pinang.
"Kesemua nilai rampasan dan sitaan berjumlah RM55,000 itu dibawa ke Markas Pasukan Polis Marin untuk tindakan lanjut. Siasatan awal mendapati, suspek aktif dalam memproses dan membekalkan air ketum ke seluruh Pulau Pinang sejak awal tahun ini.
"Suspek memperoleh bekalan daun ketum dari Jeniang, Kedah dan menjual air ketum dengan harga RM5 sebungkus. Dia mampu memperoleh hasil jualan mencecah RM15,000 sebulan dengan penjualan barang terlarang itu," katanya.
Rosman berkata, suspek yang tidak mempunyai rekod lampau itu direman empat hari bermula Rabu untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.