SHAH ALAM - Tindakan kerajaan menangani krisis negara terutamanya dalam memerangi wabak Covid-19 dilihat garang di luar tetapi lembut di dalam, kata Penganalisis Politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian.
Sivamurugan berkata, kerajaan banyak memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) pada peringkat awal, namun melonggarkannya sebaik saja mendengar keluhan daripada rakyat.
"Kerajaan ini saya rasakan, di luar garang, lembut di dalam. Banyak SOP diperkenalkan di peringkat awal tetapi bila mendengar keluhan daripada rakyat, dia (kerajaan) lentur.
"Kerajaan mula mengubah (SOP) untuk disesuaikan dengan tindakan yang dimahukan oleh rakyat.
"Sama juga kita lihat bila diperketatkan (SOP), ada yang mahu dilonggarkan. Bila dilonggarkan, ada yang mahu diperketatkan,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-259 bertajuk ‘Kerajaan Gagal: Realiti Atau Persepsi’ yang disiarkan secara langsung menerusi dalam talian pada Selasa.
Wacana turut menampilkan panelis, Ketua Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Mohd Rafiq Mohd Abdullah, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Sementara itu, menurutnya, kerajaan perlu melihat tiga perkara asas yang wajar diberikan perhatian bagi sesebuah negara dalam menangani cabaran pandemik Covid-19 iaitu kepatuhan masyarakat, komunikasi antara kerajaan dengan rakyat serta komitmen penjawat awam.
"Pertamanya, kepatuhan. Adakah rakyat sudah tidak patuh sehingga menyebabkan kerajaan itu dilihat gagal? Kedua, adakah komunikasi baik antara pihak berwajib dengan masyarakat dalam menangani isu ini.
"Yang ketiga, saya merasakan komitmen penjawat awam. Yang ketiga itu jelas, barisan hadapan bersungguh-sungguh memastikan isu ini akan dapat diatasi.
"Tetapi itu tidak dilakukan berseorangan. Rakyat harus membantu dan pada masa yang sama, kita juga mahukan kerajaan yang mungkin juga komited kepada apa yang sedang berlaku,” ujarnya.