KOTA BHARU - Tiada pembaziran vaksin Covid-19 berlaku walaupun penerima dari fasa satu tidak hadir kerana mereka telah digantikan dengan penerima yang memenuhi kriteria dari fasa dua.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, masih ramai rakyat negeri Kelantan yang mengharapkan mereka mendapat suntikan vaksin lebih awal tanpa perlu menunggu tarikh yang akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera.
"Sehubungan itu, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan ingin menasihatkan mana-mana penerima vaksin yang tidak hadir, kita akan gantikan dengan penerima dari kumpulan yang sama, jadi tiada pembaziran vaksin berlaku.
"Orang ramai tidak dibenarkan hadir untuk 'walk-in' kerana setiap ketidakhadiran penerima telah ada senarai sedia ada untuk dipanggil. Selain itu, kita nasihatkan orang ramai untuk sentiasa menyemak MySejahtera bagi mengetahui status jemputan untuk vaksinasi," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Menurut beliau, prestasi pendaftaran rakyat Kelantan ke dalam aplikasi MySejahtera hanyalah 29.6 peratus bagi yang berumur melebihi 18 tahun dan 34.1 peratus bagi yang berumur lebih 60 tahun.
Selain itu, katanya, bilangan mereka yang berumur lebih 60 tahun yang berdaftar dan layak menerima suntikan vaksin semasa fasa dua adalah 125,744 orang berbanding dengan anggaran bilangan sebenar 208,470 iaitu sebanyak 60 peratus.
"Rakyat perlu sentiasa peka dan patuhi tarikh serta masa janji temu yang telah ditetapkan. Jika tidak dapat hadir atas sebab yang tidak dapat dielakkan, ia perlu dimaklumkan kepada pihak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk penjadualan semula janji temu.
"Orang ramai juga dinasihatkan untuk menunggu giliran masing-masing dan mendapat vaksinasi awal bukan bermakna tidak perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.
Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan, kira-kira 10,000 rakyat di negeri ini tidak hadir janji temu untuk suntikan vaksin Covid-19 pada tarikh yang ditetapkan.
Situasi tersebut amat mengecewakan kerana suntikan itu merupakan salah satu usaha kerajaan dalam mengukuhkan imunisasi melawan jangkitan Covid-19.
Lebih mengecewakan, individu terlibat memberikan pelbagai alasan antaranya mahu tukar tarikh, demam, melangsungkan perkahwinan dan sebagainya.
ARTIKEL BERKAITAN: 10,000 individu ponteng janji temu vaksin di Kelantan