Kerajaan negeri berhak rampas rumah terbiar

Iklan
Sze Han
SHAH ALAM - Kerajaan negeri berhak merampas unit kediaman terbiar yang didapati tidak membayar cukai pintu dan gagal membersihkan kawasan rumah setelah notis dikeluarkan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengeluarkan notis kepada pemilik yang ingkar membersihkan kawasan rumah terbiar mereka bagi mengelakkan kacau ganggu di kawasan perumahan.

"Sekiranya mereka ingkar notis, kerja pembersihan akan dilaksanakan oleh PBT dan segala kos yang terlibat akan dituntut daripada pemilik. Penguatkuasaan di bawah Seskyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

"Sepatutnya kerja-kerja pembersihan adalah bawah tanggungjawab pemilik namun untuk pendekatan jangka pendek, PBT akan menjadikan amalan kerja pembersihan rumput dan semak samun di rumah terbiar serta terbengkalai itu sebanyak dua kali dalam tempoh setahun bertujuan mengelakkan kacau ganggu di kawasan perumahan tersebut.

"Sekiraya didapati pemilik gagal membayar cukai pintu, kerajaan negeri berhak mengambil alih kediaman tersebut," katanya ketika membentangkan sesi soal jawab bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Lim Yi Wei pada sidang Dun, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata, terdapat 4,907 rumah terbiar di sekitar Selangor mengikut daerah masing-masing.

Berdasarkan laporan jumlah bilangan rumah terbiar yang dilaporkan dari PBT masing-masing didapati terdapat 1,995 unit rumah terbiar di sekitar Majlis Bandaraya Shah Alam; Majlis Bandaraya Petaling Jaya (178); Majlis Perbandaran Klang (114) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (360).

Selain itu, Majlis Perbandaran Subang Jaya (568); Majlis Perbandaran Selayang (190); Majlis Perbandaran Kajang (119) dan Majlis Perbandaran Sepang (152).

Sementara, di Majlis Daerah Kuala Langat (988); Majlis daerah Hulu Selangor (63); Majlis Daerah Kuala Selangor (150) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (30).

"Itu fakta terbaharu kerajaan negeri terima namun sekiranya Ahli-Ahli Yang Berhormat kurang yakin saya galakkan supaya Ahli-Ahli Yang Berhormat laporkan jumlah rumah terbiar di Dewan Undangan Negeri masing-masing.

"Ia kerana besar kemungkinan masih ada rumah terbiar tidak dilaporkan kepada PBT," katanya.