IPOH - Pusat hiburan di Jalan Sultan Dr Nazrin Shah yang terbakar hingga menyebabkan enam mangsa maut, hari ini pernah beberapa kali diserbu pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, berdasarkan rekod pada 2017, polis telah melakukan serbuan ke atas premis berkenaan sebanyak empat kali.
"Serbuan dilakukan selepas menerima aduan pusat hiburan terbabit menggajikan pekerja asing sebagai pelayan pelanggan (GRO).
"Pada tahun lalu pula, satu pemeriksaan sama dilakukan di premis berkenaan,” katanya.
Dalam kejadian sekitar jam 5.30 pagi itu, enam termasuk dua wanita warga Vietnam dipercayai bekerja sebagai GRO ditemui mati selepas terperangkap di tingkat empat bangunan berkenaan.
Mereka yang maut adalah tiga lelaki warga tempatan dikenali Tai Chee Kin, 37; Lau Wai Hoong, 36 dan Chooi Keng Heen, 31, sementara seorang lagi lelaki, Johirul, 26, merupakan warga Bangladesh.
Dua wanita warga Vietnam berkenaan adalah Nguyen Thi Thuy Duong, 21, dan Nguyen Thi Trang, 19.
Kesemua mereka disahkan meninggal dunia akibat akibat terhidu asap tebal.
Ketika kejadian, terdapat 14 mangsa terperangkap, namun selebihnya berjaya menyelamatkan diri dengan bantuan anggota bomba.
Dalam pada itu, Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon berkata, berdasarkan pelan asal yang diterima, bangunan setinggi lapan tingkat itu adalah untuk kegunaan pejabat sebelum dijual kepada pihak lain dan dijadikan pusat hiburan.
"Kita sedang teliti dan akan buat semakan sama ada mereka ada kemukakan pelan baharu untuk pertukaran status bangunan. Pelan awal memang ada hose reel dan smoke detector (alat pengesan asap),” katanya.
Menurutnya, kerja-kerja overhaul masih dijalankan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada sebarang sisa api atau kebakaran.
"Kita nak pastikan operasi dijalankan 100 peratus sebelum mengisytihar bangunan ini sebagai selamat,” katanya.
Operasi disertai 52 anggota bomba masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, dibantu balai Pasir Puteh, Meru Raya dan Pasukan Bomba Sukarela Pekan Bharu.