KEPALA BATAS - Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee akan dipanggil untuk direkodkan keterangan berhubung gambar yang menunjukkan beliau makan di sebuah kedai makan di Medan Selera Sin Tat Garden, Butterworth.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, Lip Chee bersama pemilik kedai dan beberapa lagi individu dijangka memberi keterangan petang ini.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu makan di dalam kedai sedangkan ia tidak dibenarkan.
"Kita menjalankan siasatan selepas gambar YB Exco yang menunjukkan beliau makan di sebuah kedai makan tular.
"Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai pada jam 3 petang 23 Mei lalu yang mana Lip Chee mendakwa beliau hadir di medan selera tersebut untuk mempromosikan satu gerai makan di situ.
"Beliau juga mendakwa hanya masuk ke kedai makan itu untuk ambil gambar kononnya beliau sedang menjamu selera di situ. Ia sebahagian daripada tujuan promosi," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Noorzainy berkata, Lip Chee mendakwa beliau hanya berlakon sedang makan di situ tanpa memakai pelitup muka.
"Beliau mengatakan tidak makan di situ seperti didakwa selain terus beredar selepas selesai mengambil gambar di lokasi berkenaan. Bagaimanapun, siasatan lanjut terhadap Lip Chee dan beberapa individu tetap dijalankan.
"Kes disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 17 (1) Peraturan- Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021," katanya.
Dalam pada itu, Noorzainy meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut sehingga siasatan selesai.
"Siasatan sedang dijalankan dan apabila ia selesai, kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Sejak semalam, gambar Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal sedang makan di sebuah kedai makan tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.
Difahamkan, gambar tersebut dimuatnaik di Facebook Lip Chee dengan keterangan yang ditulis dalam bahasa Mandarin selain terdapat hashtag 'throwback'.