HULU SELANGOR - Seorang lelaki berusia 38 tahun dan beralamat di Batu Caves dicari dipercayai melarikan sebuah kereta sewa jenis Perodua Axia sejak 12 Mei lalu.
Pengusaha perkhidmatan kereta sewa, Muhammad Nizamuddeen Mohd Abd Kadzar, 27 berkata, lelaki itu gagal dihubungi selepas beberapa hari menyewa kereta tersebut di kedainya yang terletak di Bukit Beruntung.
Menurutnya, usaha menjejaki lelaki berkenaan di rumahnya juga tidak berhasil apabila jiran-jirannya memaklumkan lelaki itu telah lama mengosongkan rumah.
"Saya minta dia pulangkan semula kereta disewa itu. Kereta tersebut baharu dibeli tahun lepas dan masih terikat dengan pinjaman bank," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, lelaki berkenaan datang ke kedainya bersama seorang anak dan rakannya yang mahu membuat pinjaman kereta untuk sehari.
"Ketika ambil kereta, dia kata kemungkinan menyambung sewa dan berjanji membayar sewaan berkenaan secara transaksi bank (bank in).
"Kali terakhir saya hubunginya pada 12 Mei, dia cakap ada sedikit masalah mengenai urusan harta dan akan hubungi saya semula selepas dua atau tiga hari untuk selesaikan baki bayaran tetapi dia bukan hanya tidak bank-in, nombor telefonnya juga sudah tidak aktif," katanya.
Dia memaklumkan sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Katanya, pengalaman sama pernah dihadapi tiga tahun lepas namun kereta disewakannya diperoleh semula selepas ditularkan.
Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut boleh menghubunginya di talian 012-6060815.