KUALA LUMPUR - Hari demi hari, bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan Covid-19 semakin meningkat dengan ramai daripada mereka memerlukan rawatan rapi termasuk bantuan pernafasan.
Malah, kebanyakan hospital kini telah memaksimumkan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) masing-masing bagi merawat pesakit Covid-19 berikutan lonjakan kes kategori 4 dan 5.
Dalam konteks ini, bagaimana hospital swasta boleh membantu mengurangkan beban kerajaan?
Menurut Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh, para penyedia perkhidmatan kesihatan swasta akan melakukan sedaya upaya mereka untuk membantu sekalipun mereka tidak dibangunkan bagi menangani pandemik dan penyakit berjangkit.
Katanya, tidak seperti tanggapan masyarakat, hospital swasta mempunyai kepakaran yang terhad dari segi doktor pakar dan jururawat, tenaga kerja dan kapasiti untuk merawat pesakit Covid-19 dalam jumlah yang besar, khususnya pesakit yang memerlukan rawatan kritikal.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan memindahkan pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta bagi mewujudkan ruang untuk kes Covid-19 di kemudahan kerajaan.
Beliau berkata, situasi semasa belum sampai di peringkat yang menuntut kerajaan mengambil alih sumber penjagaan kesihatan swasta di bawah Ordinan Darurat.
"Saya berpandangan adalah lebih baik jika kami dapat membantu dengan mengambil alih rawatan pesakit bukan Covid-19 daripada hospital kerajaan, sekali gus membolehkan kerajaan menumpukan rawatan kepada pesakit Covid-19 bagi menampung peningkatan jumlah pesakit sekarang,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada 18 Januari lepas, kerajaan mengumumkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) termasuk peruntukan RM100 juta kepada hospital swasta untuk menerima pesakit Covid-19 bagi meringankan tekanan kepada sistem kesihatan awam.
Dr Kuljit berkata, hospital kerajaan memiliki kepakaran yang sangat baik dan tenaga kerja mencukupi serta berpengalaman luas kerana mereka telah mendepani pandemik ini selama lebih setahun.
Katanya, terdapat 31 hospital di Lembah Klang yang merawat pesakit Covid-19 termasuk wad ICU berdasarkan kapasiti dan keupayaan masing-masing.
"Di hospital swasta, tiada doktor pelatih dan pegawai perubatan... mereka hanya ada satu atau dua pakar yang boleh merawat Covid-19, oleh itu mereka tidak mampu merawat pesakit dalam jumlah yang besar,” katanya.
Beliau berkata, adalah amat penting untuk mereka mengekalkan kualiti rawatan sekalipun jumlah pesakit bertambah.
Ditanya sama ada hospital swasta bersedia menempatkan petugas mereka di hospital kerajaan bagi membantu, Dr Kuljit berkata, hospital swasta tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian namun petugas mereka tidak memiliki pengalaman dan kepakaran dalam mengendalikan Covid-19.
Ini khususnya bagi merawat pesakit kategori 4 dan 5 yang memerlukan rawatan rapi, katanya.
Beliau juga berkata, 12 hospital swasta telah memulakan vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada Selasa, namun keseluruhannya lebih 100 hospital swasta di seluruh negara akan terlibat dalam program itu.
"Hospital swasta dan kerajaan sedang bekerjasama rapat. Dalam kalangan hospital swasta juga kami bekerjasama, sama ada kami daripada kumpulan syarikat yang sama atau pesaing,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL), Erica Lam berkata, hospital itu sentiasa bersedia membantu kerajaan dalam menyediakan fasiliti untuk kegunaan pesakit Covid-19 termasuk meningkatkan jumlah katil selaras keperluan semasa.
"Memandangkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah memohon kerjasama pihak hospital swasta, PHKL sudah menghulurkan sokongan dan terlibat secara serius dalam usaha mengawal Covid-19,” katanya, menambah sebanyak 50 peratus katil ICU di hospital tersebut digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.
Erica berkata, hospital itu juga menyediakan ruang untuk pusat vaksinasi, wad isolasi serta menerima dan merawat pesakit Covid-19 yang dipindahkan daripada hospital kerajaan.
"Dengan kemudahan yang ada di PHKL, kami bersama-sama kerajaan akan menghadapi tempoh sukar ini. Kami harap masyarakat akan memberi kerjasama dalam usaha menangani pandemik Covid-19,” katanya. - Bernama