TUMPAT - Seorang guru pencen dikompaun RM4,000 kerana memakai gelang pink ke Pasar Sumayyah, di sini pada Rabu.
Warga emas berusia 73 tahun itu ditahan polis melalui Op Covid-19 di sekitar pasar berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, warga emas itu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan ketika ini.
"Warga emas dari Pelekbang itu sepatutnya menjalani Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di rumah (HSO). Polis tidak akan berkompromi dengan individu yang ingkar dan melanggar SOP," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Sebelum ini, gambar guru pencen yang dikenakan kompaun kerana memakai gelang pink tular di media sosial.
Menurut Ab Rashid, orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika berlaku pelanggaran SOP terutama mereka yang dikenakan kuarantin.
Beliau berkata, polis menuntut kerjasama orang ramai untuk terus patuh kepada SOP dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 15 Akta Pencegahan Penyakit-Penyakit Berbahaya 1988 (Akta 342).