SUNGAI PETANI - Tiga premis perniagaan masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 akibat gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam Ops Covid-19, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kompaun itu membabitkan beberapa kesalahan dan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Iklan
Iklan
Antara kesalahan termasuk gagal menyediakan sarung tangan pakai buang kepada pelanggan premis pakaian, tidak menutup ruangan 'fitting room' dan tidak menyatakan jumlah pelanggan yang dibenarkan masuk pada satu-satu masa.
"Sebanyak tiga kompaun dikeluarkan oleh Team Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda kepada pengurus premis perniagaan atas kesalahan gagal mematuhi SOP PKP," katanya ketika menjalankan pematuhan dan penguatkuasaan SOP PKP 3.0 secara bersepadu di sini pada Rabu.
Pemantauan diketuai Pengarah MKN Kedah, Mohd Zawawi Zakaria, selain Pegawai Penguat kuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Roslin Bakar bermula dari jam 10.30 pagi hingga 1.10 petang sekitar bandar ini.
Antara lokasi pemantauan adalah premis Pasaraya Amanjaya Mall dan kedai emas sekitar Jalan Ibrahim, Sungai Petani.
Dalam pemantauan sama, Mohd Zawawi mengambil peluang menyampaikan cenderahati kepada premis yang dapati menguruskan pelaksanaan SOP PKP dengan baik secara keseluruhannya.