Covid -19: Larangan keluar masuk antara Sabah, Labuan dikuatkuasa

Iklan
Keadaan jalan utama di sekitar pusat bandar Labuan kelihatan agak lengang ekoran pelaksanaan PKPD ketika tinjauan hari ini. Foto Bernama

KOTA KINABALU - Kerajaan Negeri Sabah pada Rabu mengumumkan sekatan pergerakan keluar masuk antara Sabah dan Labuan berkuat kuasa serta-merta berikutan kewujudan Covid-19 varian India yang dikesan di Wilayah Persekutuan itu.

Menteri Kerajaan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata, pengecualian yang diberikan melibatkan pergerakan perkhidmatan dan barangan perlu, keselamatan dan kesihatan atau perubatan serta telah mendapat kebenaran khas.

Iklan
Iklan

"Pengangkutan feri awam juga hanya bagi keperluan perkhidmatan perlu dan barangan perlu sahaja. Permohonan kebenaran (pergerakan Sabah dan Labuan) bagi pasangan jarak jauh juga tidak akan dipertimbang bermula 28 Mei hingga 7 Jun," menurutnya dalam kenyataan malam ini (Rabu).

Beliau berkata faktor utama peningkatan kes Covid-19 di Sabah ialah kegagalan orang awam dan pemilik premis perniagaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama pemakaian pelitup muka.

Iklan

"Sehubungan itu, pemilik dikehendaki mempamerkan SOP Covid-19 di setiap premis perniagaan masing-masing.

"Mana-Mana premis yang mempunyai peralatan hebahan perlu memberi peringatan kepada pelanggan mereka untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Hebahan berkala ini dilakukan dalam setiap satu jam," katanya.

Iklan

Masidi, yang juga jurucakap rasmi berkaitan Covid-19 Sabah, berkata pihak berkuasa tempatan akan membekalkan poster ke setiap premis untuk dipamerkan yang mengandungi nombor telefon aduan dan boleh dihubungi orang awam jika berlaku ketidakpatuhan SOP.

"Pihak penguatkuasa juga akan sentiasa membuat rondaan bagi memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya," kata beliau.

Mengulas perkembangan Covid-19, Masidi berkata Sabah pada Rabu merekodkan 229 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif 61,057 kes manakala kes sembuh dan dibenarkan keluar hospital seramai 81 orang menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah ialah 58,968. - Bernama