Pemain Perak II isi kekosongan Perak FC

Iklan
De Paula sebelum ini bersama Perak kini bersama pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi baki saingan Liga-M musim ini. Foto: Perak FC.

PENGENDALI Perak FC, Chong Yee Fatt berkemungkinan menggunakan sebahagian besar pemain Perak II bagi mengisi kekosongan ditinggalkan oleh beberapa tonggak utama Perak FC yang berhijrah ke kelab lain dalam mengharungi baki pusingan kedua saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Menurut Yee Fatt, ini kerana pendekatan itu sahaja yang dilihat berpotensi mengimbangi The Bos Guarus walaupun terdapat usaha daripada pihak pengurusan untuk memancing beberapa pemain luar.

Iklan
Iklan

"Bukan senang sekarang ini kita nak isi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain utama dengan pemain tempatan daripada kelab lain. Dengan keadaan kita, mereka pun was-was nak datang. Mahu atau tidak, kita kena guna juga pemain daripada Perak II.

"Pemain Perak II ini juga kita akan gabungkan dengan beberapa pemain senior yang mungkin akan terus kekal dengan Perak FC untuk baki saingan liga ini," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Iklan

Beberapa tonggak utama Bos Gaurus seperti penyerang Guilherme De Paula; kapten pasukan Shahrul Saad; Kenny Pallraj, J Parthiban serta Nazirul Naim sebelum ini mengambil keputusan berhijrah ke kelab lain selepas jendela perpindahan kedua Liga-M dibuka sejak 3 Mei lalu.

Penghijrahan itu dibuat selepas pengurusan Perak FC dilaporkan gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain-pemain berkenaan.

Iklan

Selain itu, Yee Fatt berkata, beliau mengakui dengan penghijrahan beramai-ramai pemain utama itu sedikit sebanyak akan menyukarkan misi pasukan untuk kekal bersaing dalam Liga Super.

"Susah memang susah. Tengok daripada pelan perancangan kita pun semua orang dapat menilai. Cuma apa yang boleh dibuat untuk ketika ini, kita kena positif kerana liga belum tamat. Ada lagi masa, ada lagi perlawanan, jadi kita kena cuba untuk kekal," katanya.

Mengulas mengenai pemain import, katanya, setakat ini Nana Poku, Leandro Dos Santos serta Raianderson masih kekal bersama Perak dan berkemungkinan akan ada tonggak import baharu ditandatangani untuk mengisi kekosongan ditinggalkan De Paula.

"Bagaimanapun ia masih dalam cadangan (import baharu). Cuma, kalau berhasil, ia satu perkembangan positif pada kita untuk menambah kekuatan di bahagian serangan," katanya.

Perak FC kini menduduki tangga ke-10 dalam carta kedudukan liga dengan mengumpul 12 mata selepas 13 perlawanan.