Hilang: Ariff ditemui bingung, lapar

Iklan
Muhammad Ariff (tengah) ditemani ibunya sewaktu hendak dibawa ke Hospital Parit Buntar bagi mendapatkan rawatan lanjut dengan menaiki ambulans. FOTO: Kredit pembaca

PARIT BUNTAR - Misteri kehilangan seorang pelajar lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak enam hari lalu kini terungkai apabila dia ditemui dalam keadaan lemah dan kebingungan di sebatang jalan ban berhampiran Kampung Perak, di sini petang tadi.

Mangsa, Muhammad Ariff Ahmad Sazali,18, yang merupakan bekas pelajar Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh sebelum ini dilaporkan hilang setelah tidak pulang seharian selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Taman Bahagia, Jalan Terusan di sini, 14 Februari lalu.

Iklan
Iklan

Bapa mangsa, Ahmad Sazali Ishak,47, berkata, anak keduanya ditemui seorang guru yang sedang melalui jalan ban menghubungkan Taman Murni dan Kampung Perak pada jam 4.55 petang tadi.

Muhammad Ariff FOTO: Kredit pembaca

Menurutnya, guru itu memaklumkan anaknya berjalan berseorangan dalam keadaan lemah dan kebingungan ketika dihampiri keretanya.

Iklan

"Apabila anak saya memaklumkan alamat rumah kami, guru itu terus menghantarkannya kepada kami.

"Sewaktu tiba di rumah, keadaan Muhammad Ariff amat lemah dan dia kelihatan sangat lapar sehinggakan mampu menghabiskan dua pinggan nasi apabila disajikan makanan," katanya sewaktu menghubungi Sinar Harian di sini petang tadi.

Iklan

Ahmad Sazali berkata, bimbang melihat keadaan Muhammad Ariff masih lemah, pihaknya segera menghubungi ambulans untuk membolehkana anaknya mendapatkan rawatan perubatan.

Menurutnya, Muhammad Ariff kemudiannya dibawa ke Hospital Parit Buntar pada jam 7 malam bagi mendapatkan rawatan susulan.

"Kepulangan Muhammad Ariff ke rumah turut disambut sanak-saudara dan orang ramai yang sebelum ini bertungkus-lumus menjalankan operasi mencarinya sejak beberapa hari lalu.

"Kami mengucapkan syukur kepada ALLAH SWT di atas kepulangan Muhammad Ariff dan sangat berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha membantu menjejaki anak saya sejak hari pertama kehilangannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob sewaktu dihubungi mengesahkan penemuan semula Muhammad Ariff.