PKPD: Pusat beli-belah lengang, sunyi

Iklan
Suasana pusat beli-belah yang lengang dan sunyi.

KUANTAN – Keadaan di pusat beli-belah di bandar ini sunyi walaupun kerajaan membenarkan aktiviti ekonomi diteruskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan premis perniagaan juga ditutup kecuali restoran dan gerai makanan sahaja dibuka.

Iklan
Iklan

Jumlah pengunjung juga tidak ramai, sebaliknya terdapat pekerja penghantar makanan sahaja yang kelihatan berada di lokasi berkenaan.

Pekerja kaunter pertanyaan di sebuah pusat beli-belah, Siti Adilah Abdul Rahman, 32, berkata, hanya sektor penting dibenarkan beroperasi dan disebabkan itu kebanyakan premis perniagaan di dalam pusat beli-belah berkenaan ditutup.

Iklan

Menurutnya, kehadiran orang ramai juga tidak seperti biasa kerana hanya 20 peratus premis perniagaan dibenarkan beroperasi.

"Keadaan di sini lengang sejak hari pertama PKPD dilaksanakan di daerah ini dan jika ada pun yang datang, mereka hanya datang seorang diri.

Iklan

"Kebanyakan yang datang ke sini kemungkinan orang sekitar untuk membeli barangan keperluan harian, saya difahamkan sejak PKPD ini jarak yang dibenarkan dalam lingkungan radius 10 kilometer," katanya ketika ditemui di sebuah pusat membeli-belah di daerah ini pada Rabu.

Hampir 80 peratus operasi premis perniagaan di pusat beli-belah di daerah ini ditutup.

Seorang pengunjung, Haifi Adli Abdul Samad, 45, berkata, dia datang ke pusat beli-belah itu untuk membeli barangan keperluan harian.

Dia berkata, pusat beli-belah ini adalah satu-satunya lokasi yang paling dekat dengan kediamannya dan selesa.

"Sebelum PKPD saya tiga hari sekali datang membeli barangan keperluan harian, biasa datang bersama isteri.

"Tapi kali ini saya datang seorang diri dan membeli barangan untuk tempoh seminggu," katanya.

Mustafa Billah, 54, pula berkata, dia datang ke pusat beli-belah itu semata-mata untuk ke kedai cermin mata bagi mengambil cermin mata yang ditempahnya sebelum ini.

"Saya rasa semua orang faham dan patuh dengan SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan kerana selain pusat beli-belah, keadaan jalan raya juga lengang sejak dua hari lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya akan terus memantau pematuhan SOP di semua pusat beli-belah dan pasar raya di daerah ini sepanjang tempoh PKPD.

Menurut beliau, walaupun pusat beli-belah dan pasar raya dibenarkan beroperasi, namun anggota polis akan sentiasa meninjau lokasi berkenaan.

"Pemantauan dibuat bagi memastikan SOP dipatuhi dan hanya mereka yang dibenarkan sahaja berkunjung ke sana.

"Setakat ini tiada kes pelanggaran SOP dilaporkan berlaku di pasar raya, namun orang ramai tetap diingatkan supaya terus mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.