KUALA LUMPUR - Wisma Putra menggesa individu serta pemilik akaun Instagram (IG) @iesya_toh dan @nurhelizahelmi segera tampil dan mengemukakan maklumat berkenaan ‘Dr Nur’, yang didakwa sebagai warganegara Malaysia ditahan oleh pihak Israel.
Wisma Putra dalam kenyataannya malam tadi berkata, mana-mana individu lain yang mempunyai maklumat sahih berhubung identiti serta keberadaan ‘Dr Nur’ turut digesa tampil dan mengemukakan maklumat tersebut melalui e-mel bkrm@kln.gov.my.
"Maklumat lanjut mengenai perkara ini adalah penting untuk pihak kementerian mencari jalan penyelesaian untuk membantu ‘Dr Nur’,” katanya.
Menurut Wisma Putra, pihaknya mengambil maklum akan perkongsian yang tular di media sosial berhubung penahanan ‘Dr Nur’ oleh pihak Israel.
"Bagaimanapun, pihak kementerian tidak dapat mengenal pasti butiran peribadi serta perincian insiden yang menimpa ‘Dr Nur’, sekali gus menyulitkan usaha Perwakilan Malaysia untuk menghubungi dan menyalurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada beliau,” menurut kenyataan itu.
Menurut Wisma Putra, semakan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir dan Amman, Jordan juga mendapati bahawa tiada individu bernama ‘Dr Nur’ yang mendaftarkan keberadaan diri di Palestin atau menghubungi Perwakilan Malaysia untuk mendapatkan bantuan.
Dalam masa yang sama, menurut kenyataan itu, Kementerian Luar telah pun berhubung dengan pihak-pihak berkuasa di Malaysia untuk membantu mengenal pasti identiti dan keberadaan ‘Dr Nur’.
"Kementerian Luar telah mengumpul maklumat berkenaan laporan yang dikemukakan oleh orang awam termasuk tangkap skrin posting dibuat oleh orang awam berhubung insiden yang menimpa ‘Dr Nur’.
"Maklumat berkenaan juga dipanjangkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Wisma Putra juga telah cuba menghubungi dua individu bernama Dr Aida dan Dr Shafiq, yang didakwa berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur, bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan ‘Dr Nur’ namun kedua-dua mereka gagal dihubungi.
" Kementerian Luar sentiasa prihatin dan mengutamakan keadaan serta kebajikan rakyat Malaysia di luar negara. Perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bersedia untuk membantu sekiranya rakyat Malaysia di luar negara berada dalam kesulitan,” menurut Wisma Putra.
Kementerian Luar menyarankan rakyat Malaysia untuk sentiasa berhubung dengan Perwakilan Malaysia terdekat sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau memerlukan sebarang bantuan konsular, katanya. - Bernama