BAGAN DATUK - Seorang pelajar yang dilaporkan hilang selepas menyelamatkan adiknya ketika mandi di Sungai Perak di Kampung Tebing Rebak, Sungai Sumun di sini, ditemui terapung pada Khamis.
Mangsa yang berusia 21 tahun ditemui pasukan penyelamat pada jam 3.30 pagi pada jarak 100 meter dari lokasi awal mangsa dilaporkan hilang.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan operasi mencari dan menyelamat dilakukan sejak Selasa lalu selepas menerima panggilan telefon pada jam 6.45 petang.
"Pasukan bomba bersama agensi penyelamat lain melakukan pencarian seluas radius tujuh kilometer dengan kaedah pencarian permukaan.
"Mangsa berjaya dijumpai kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian apabila ditemui terapung berhampiran tebing sungai," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi selama tiga hari itu melibatkan 24 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
"Enam buah bot digunakan dalam operasi tersebut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 6 petang," katanya.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas menyelamatkan adiknya yang dihanyutkan ketika mandi di lokasi tersebut.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa merupakan seorang penuntut berusia 21 tahun berjaya menyelamatkan adik lelakinya berusia 15 tahun sebelum dia tenggelam dihanyutkan arus.
ARTIKEL BERKAITAN: Abang hanyut selepas selamatkan adik