KUALA TERENGGANU - Kerajaan bersedia untuk menambah baik kelemahan sistem pendaftaran vaksin Covid-19 bagi melancarkan usaha mencapai imuniti kelompok sebelum hujung tahun ini.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ia berikutan masih ramai yang tidak berjaya memohon satu juta slot vaksin AstraZeneca yang ditawarkan pada Rabu.
"Permohonan untuk slot vaksin berkenaan adalah di luar jangkaan yang mana lebih sejuta pengguna masuk ke dalam sistem dalam tempoh satu jam untuk memohon satu juta slot dos vaksin AstraZeneca yang ditawarkan.
"Keadaan itu menyebabkan sistem yang telah dibuat 'stress test' sebelum ini menjadi sesak dan terganggu," katanya dalam satu kenyataan malam Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 300,000 tempahan Astrazeneca dalam masa 45 minit
AstraZeneca: CITF mohon maaf, siasatan lanjut sedang dijalankan
Ahmad Amzad bagaimanapun berkata, kerajaan menerima pelbagai teguran dan saranan bagi melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
"Kita sentiasa bersedia menilai kembali kelemahan yang berlaku berikutan sambutan diterima terhadap vaksin ini. Banyak modul MySejahtera masih perlu ditambah baik bersesuaian dengan keadaan semasa yang berlaku.
"Kerajaan juga akan menjalankan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kelancaran PICK serta mencapai sasaran imuniti kelompok sebelum hujung tahun ini," katanya.
Dalam pada itu, katanya, tindakan individu yang menarik diri daripada divaksin setelah mendaftar pada MySejahtera perlu dihentikan kerana menjejaskan kelancaran usaha mencapai imuniti kelompok.
Beliau berkata, trend penarikan diri itu ketara berlaku ekoran penolakan terhadap vaksin AstraZeneca sebelum ini kerana didakwa berlaku pembekuan darah (blood clotting) ke atas pesakit setelah menerima vaksin tersebut.
"Vaksin AstraZeneca pada awalnya dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Semua yang mendaftar akan mendapat giliran mengikut Fasa 1, 2 dan 3 yang ditetapkan.
"Namun, apabila program suntikan vaksin AstraZeneca dimulakan, bantahan dibuat oleh banyak pihak berkaitan isu 'blood clots' yang telah dijelaskan bahawa insiden itu amat jarang berlaku dan sangat minimum dengan kadar kes sebanyak 0.0004 peratus sahaja.
"Terlalu ramai mendesak untuk menolak vaksin ini sehingga pada satu tahap 8,000 yang telah mendaftar dalam MySejahtera untuk divaksinkan telah menarik balik pendaftaran atas alasan tak mahu menerima suntikan vaksin AstraZeneca," katanya.
Beliau berkata, trend penarikan diri terhadap vaksin itu berhenti setelah kerajaan mengumumkan mengeluarkan vaksin AstraZeneca dari senarai vaksin yang digunakan dalam PICK.
Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan Sarawak turut memohon lebih banyak bekalan vaksin supaya imuniti kelompok di Sarawak dapat dicapai sebelum Ogos 2021 iaitu pada tarikh tamat darurat yang menyebabkan Sarawak tiada pilihan melainkan melaksanakan pilihan raya negeri kerana tempoh penggal tamat pada Jun 2021.
"Kerajaan menawarkan penghantaran bekalan vaksin AstraZeneca sebagai mempercepatkan proses vaksinasi di Sarawak, namun tawaran berkenaan ditolak oleh kerajaan Sarawak ketika itu.
"Kerajaan kemudiannya memutuskan memberikan vaksin AstraZeneca kepada sesiapa sahaja berusia lebih 18 tahun dan bersetuju menerima suntikan vaksin ini secara sukarela menyebabkan ramai golongan muda mengambil vaksin AstraZeneca kali ini.
"Untuk tawaran kali kedua apabila bekalan baharu AstraZeneca diterima, keutamaan masih diberikan kepada warga emas dengan membuka tempoh tiga hari pertama pendaftaran kepada golongan berkenaan," katanya.