PENGKALAN HULU - Pengorbanan petugas barisan hadapan melakukan pemeriksaan kesihatan dari rumah ke rumah untuk mengesan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduk di Kampung Pengkalan Hulu, Perak wajar diberi pujian dan penghargaan.
Kesungguhan mereka berjalan kaki dalam cuaca panas terik dari rumah ke rumah dengan memakai pakaian pelindung diri (PPE) mendapat perhatian pengguna Twitter dikenali Rohana Ismail.
Dia berkongsi ciapan penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada petugas barisan hadapan Pengkalan Hulu (PH) di atas kerja keras mereka.
"Pertengahan April baru ini kes mencanak naik kat PH (Pengkalan Hulu), dan hari ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) PH memutuskan untuk berjalan dari rumah ke rumah dan memeriksa setiap orang yang ada simptom (Covid-19) kena angkut buat ujian swab Covid-19. Usaha mereka tak ada dekat mana-mana weh.
"Sepanjang aku berpantang pun KKM sini tak pernah 'miss' datang rumah buat 'daily dressing' kat aku hari-hari. Aku bagi 5/5 lah untuk tim KKM sini. Semoga segala setiap urusan staf KKM dipermudahkan dan moga Tuhan lindungi kita semua," ciapnya pantas menarik perhatian warganet pada Isnin.
Namun ada juga warganet mempersoalkan kenapa tidak menggunakan kenderaan seperti kereta atau motosikal hingga perlu berjalan kaki.
@keamaAraujo kemudian tampil memberitahu,"Daerah ini kecil je, kenderaan terhad. Tambahan di sini ada tim bergerak orang asli yang masuk ke kampung-kampung orang asli di pedalaman hampir setiap hari. Ini pun mereka dah 'delegate' kenderaan sebaik mungkin dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT)".
Tambahnya, pihak petugas barisan hadapan juga telah cuba menunggang motosikal bagaimanapun pemakaian PPE menyukarkan pergerakan selain menjadi licin.
"Depa (mereka) sudah naik motor, tapi licin tak boleh nak bawak sebab pakai PPE. Itu yang terpaksa jalan kaki," ujarnya.