BACHOK – Hanya sentuhan yang dapat dijadikan senjata utama seorang ibu tunggal untuk berkomunikasi dengan anak tunggalnya, Muhammad Harraz Firdaus Shamsulhadi, 5, setiap hari dek kerana kanak-kanak tersebut ‘tidak menyedari’ apa yang berlaku di sekelilingnya.
Mampu senyum dan ketawa, namun tidak mampu bercakap atau berkomunikasi lanjut menjadi satu kekangan kepada Harraz untuk bermain seperti kanak-kanak normal lain walaupun kini sudah berusia lima tahun.
Ibunya, Wan Norfaraliza Wan Abdul Halim, 34, menyedari Harraz mengalami masalah pendengaran sejak kanak-kanak itu berumur dua tahun setengah apabila dia tidak memberi sebarang tindak balas ketika dipanggil mahupun sewaktu melihat televisyen.
Namun selepas menjalani beberapa pemeriksaan, doktor hanya mengesahkan dia berdepan masalah lambat bercakap, iaitu fenomena biasa yang dialami sesetengah kanak-kanak di Malaysia.
Bagaimanapun, sejak mula berpindah dari Terengganu ke Bachok, Wan Norfaraliza mengambil inisiatif untuk menghantar Harraz ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"Sejak hari pertama janji temu, pihak doktor sudah mengesahkan ada yang tidak kena dengan sistem pendengaran anak saya. Memang ada masalah. Dua hari kemudian kami dipanggil sekali lagi dan doktor mengesahkan memang dia memerlukan bantuan untuk mendengar.
"Doktor menasihatkan supaya saya menggunakan satu alat untuk membantu Harraz mendengar dengan baik, selain boleh bercakap seperti kanak-kanak lain. Doktor terangkan satu persatu prosedur dan bayaran yang perlu dijelaskan,” katanya ketika di temui di kediamannya di Kampung Pak Pura, Beris Kubur Besar, di sini pada Khamis.
Menurutnya, Harraz didaftarkan sebagai kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) pada Mac tahun lalu dan selepas melakukan beberapa perbincangan dengan pihak hospital, keluarganya diminta menyediakan dana untuk pembelian alat bantu pendengaran tersebut.
Beliau berkata, dengan kerja sebagai jururawat sambilan, sumber pendapatan bulanannya hanyalah RM1,000 dan dia tidak mampu membeli alatan tersebut yang berharga lebih RM82,000.
"Saya hanya bekerja sebagai jururawat sambilan. Kalau ada pesakit yang perlu dijaga di rumah, saya akan bantu keluarga untuk jaga mereka. Tapi dengan musim Covid-19 sekarang, kerja saya tidak menentu. Saya buntu bagaimana untuk mencari duit beli alat pendengaran tersebut untuk Harraz.
"Jauh di sudut hati saya, saya mahu Harraz mendengar dan boleh bercakap macam orang lain. Alat bantu dengar yang dia pakai sekarang tidak membantu kerana dia langsung tidak memberi tindak balas kalau kita panggil, jerit dan sebagainya.
"Saya berharap saya akan menemui jalan penyelesaiannya untuk membantu anak saya kembali pulih daripada masalah saraf pendengaran ini. Dengan bantuan nenek dan adik saya yang tinggal bersama, mereka cuba bantu ajar Harraz untuk sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.
"Namun sampai bila dia perlu dalam keadaan seperti itu. Masa depan dia masih jauh, dia satu-satunya harapan saya. Saya tidak mahu sia-siakan anugerah ALLAH ini, apa yang boleh saya buat, saya akan buat,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun BSN 0300341100043804 atau boleh hubungi Wan Norfaraliza di talian 0104196469 untuk sebarang maklumat lanjut.