Ebit Lew selamat tiba di Mesir misi bantuan di Gaza

Iklan
Ebit Lew tiba di Kedutaan Malaysia di Mesir dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin. - Foto Facebook Ebit Lew

SHAH ALAM - Pendakwah terkenal, Ebit Lew selamat tiba di Mesir dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin yang dijadual bermula Selasa hingga 30 Mei.

Beliau dalam satu kenyataan di akaun Facebook rasminya pada Khamis memaklumkan ketibaanya disambut baik oleh Kedutaan Malaysia di Mesir dan badan bukan kerajaan (NGO) United Kingdom (UK) yang terkenal dalam membantu di Gaza.

Iklan
Iklan

"Syukur pada ALLAH sebaik sampai di Mesir disambut baik oleh kedutaan Malaysia di Mesir dan NGO UK terkenal yang membantu Gaza. Saya akan menguruskan dan membeli barang perubatan serta segala keperluan yang akan di hantar terus ke Gaza hari ini.

"Perlu melalui prosesnya di Mesir untuk melalui sempadan Rafah satu-satunya laluan terus ke Gaza," ujarnya.

Iklan

Ebit Lew turut melahirkan rasa terharu kerana segala urusan misi bantuan kemanusiaan dipermudahkan.

"Terharu sangat dengan sambutan Kedutaan Malaysia di sini. Mereka sangat membantu dan memudahkan urusan kami. Betapa negara kita sangat sayangkan Palestin.

Iklan

"Terima kasih atas doa dari semua rakyat Malaysia. Terima kasih Datuk Seri Hishammuddin (Tun Hussein) dan Wisma Putra yang menyokong dan mempermudahkan semuanya. Semoga ALLAH SWT merahmati usaha kita semua demi misi kemanusiaan ini," katanya.

Pada Rabu, Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew, 36 telah mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar dilaporkan berkata, walaupun misi itu adalah inisiatif sendiri, namun delegasi Ebit Lew dinasihatkan sentiasa berhubung, bekerjasama dan mendengar arahan keselamatan daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Mesir.

"Selain itu, segala peraturan, prosedur dan arahan keselamatan yang ditetapkan oleh negara tuan rumah juga mesti dipatuhi.

"Ini penting terutamanya demi memastikan keselamatan Ustaz Ebit Lew dan delegasi beliau sepanjang di perantauan kelak," katanya.

Ebit Lew tiba di Kedutaan Malaysia di Mesir dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin. - Foto Facebook Ebit Lew

Kamarudin turut mengingatkan delegasi itu untuk mematuhi semua SOP dalam negara yang berkuat kuasa apabila kembali ke Malaysia.

Negara Islam seperti Malaysia hingga kini lantang bersuara dalam memperjuangkan hak Palestin khususnya kemuliaan tanah keagungan Islam, Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa.

Bukan itu sahaja strategi 'hackers' atau penggodam dan warganet dari negara ini juga menjadi bualan peringkat global mengakibatkan Israel tertekan apabila 'diserang' melalui laman sosial.

Ia susulan berlaku pencerobohan dan serangan rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa sejak 7 Mei lalu diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza.

Bagaimanapun selepas pertempuran ganas selama 11 hari, Israel dan dua kumpulan pejuang utama di Gaza mengumumkan gencatan senjata.

Serangan Israel terhadap Gaza telah mengorbankan 232 penduduk Palestin, termasuk 65 kanak-kanak dan mencederakan lebih 1,900 individu manakala 120,000 kehilangan tempat tinggal.

ARTIKEL BERKAITAN: Misi kemanusiaan Palestin Ebit Lew dapat kelulusan