MOSCOW - RUSIA. Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Rabu memberi amaran Moscow mungkin akan melancarkan misil jika Amerika Syarikat (AS) menyasarkan peluru berpandu ke Eropah.
Pengumuman itu dibuat selepas Washington mengumumkan ia sedang memulakan proses untuk menarik diri daripada perjanjian senjata era Perang Dingin dimeterai kedua-dua negara.
"Kremlin tidak berniat menjadi negara pertama yang membedil misil seumpama itu ke Eropah. Jika AS membangunkannya dan melancarkannya ke Eropah, ia akan memburukkan keadaan keselamatan antarabangsa secara dramatik, sekali gus menjadi ancaman serius kepada Moscow.
"Saya bercakap tentang perkara ini dengan jelas dan terbuka, Rusia mungkin terpaksa menggunakan senjata terhadap pusat pembuat keputusan yang berada di belakang sistem peluru berpandu yang mengancam kami," tegasnya.
Sebelum ini, Putin mendakwa Washington menggunakan tuduhan meragukan untuk menarik diri daripada Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF) tersebut.
"Situasi sekarang mencetuskan persoalan. AS sepatutnya jujur dan tidak menggunakan tuduhan tidak meyakinkan untuk membuat keputusan unilateral seperti itu," tambahnya.
Washington telah beberapa kali menuduh Moscow melanggar perjanjian INF dengan membina senjata yang dilarang.
Sebagai langkah tit-for-tat, Putin memaklumkan Rusia juga akan keluar dari perjanjian itu dan memulakan projek senjata baharu yang dikhuatiri akan menjadi permulaan perlumbaan untuk membangunkan senjata baharu.
Perjanjian INF tersebut ditandatangani pada 1987 oleh bekas presiden AS, Ronald Reagan dan pemimpin Soviet, Mikhail Gorbachev untuk menyelesaikan krisis terhadap peluru berpandu balistik nuklear yang menyasarkan negara Barat. - AFP