KUALA LUMPUR - Seramai 937,756 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat Rabu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Menerusi akaun Twitternya pada Khamis, Dr Adham berkata, seramai 1,667,280 individu telah menerima dos pertama, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 2,605,036 dos setakat Rabu.
Iklan
Iklan
Dr Adham berkata, lima negeri melengkapkan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 126,615 dos diikuti Sarawak (92,390), Kuala Lumpur (90,552), Johor (83,751) dan Perak (79,241).
Setakat Rabu, 46.60 peratus atau 11,314,494 individu mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor terus mencatat jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 3,003,753 orang.
Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. - Bernama
Artikel Berkaitan