KOTA BHARU – Pelbagai cara dilakukan pihak kerajaan mahupun agensi-agensi yang berkaitan bagi memastikan rakyat negeri ini terus peka dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19 yang ditetapkan, tidak kira di mana mereka berada.
Antara yang dikongsikan Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin di laman sosial rasmi Facebooknya ialah kata-kata nasihat yang cukup mudah untuk difahami rakyat di negeri ini.
"Tubik (keluar) rumah pakai mask (pelitup muka), kelik (balik) rumah basuh tangan” itu ayat mudah yang dikongsikan beliau di Facebooknya dan mendapat sambutan mengalakkan daripada netizen yang berkongsi ayat tersebut di Facebook masing-masing.
Dr Izani Husin ketika dihubungi berkata, itu adalah salah satu langkah mudah untuk masyarakat mengingati antara satu sama lain supaya mereka sentiasa patuh SOP bagi memutuskan rantaian Covid-19.
"Kita guna ayat mudah, tapi semua orang akan faham maksud dan tujuannya. Kongsikan sahaja supaya ia mendapat manfaat kepada seluruh masyarakat. Kita kena sama-sama lawan Covid-19 ini, putuskan rangkaian dan kembalikan zon hijau seperti sebelum ini.
"Saya yakin kita boleh lakukan dengan baik, beri kerjasama, patuh SOP, dengar cakap, jangan degil, ikut rawatan sebaik mungkin, Insya-ALLAH kita mampu buat yang terbaik,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.
Kelantan masih lagi mencatatkan kes jangkitan yang tinggi dengan 13 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dibuka di negeri ini dan yang terbaharu di Auditorium Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Negeri Kelantan di Tanjung Chat, di sini.
Dalam perkembangan sama, Dr Izani turut memberitahu, kerajaan berharap agar seluruh masyarakat terus mendaftar untuk menerima vaksinasi masing-masing dan tidak perlu risau dengan jumlah vaksin yang disediakan.
"Insya-ALLAH vaksin akan sampai dalam jumlah yang banyak dan program vaksinasi akan dibuat secara besar-besaran," katanya.