TAIPING - Polis mengesahkan gambar tular anggota menjadi makmum ketika solat berjemaah di sebuah masjid di sini yang turut dihadiri penduduk kampung dengan tidak memakai pelitup muka adalah benar.
Kejadian itu berlaku di Masjid Tengku Menteri, Matang semasa solat Maghrib berjemaah pada Rabu ketika operasi dijalankan Pejabat Agama Daerah Taiping bersama polis.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, anggota berkenaan turut sama menunaikan solat berjemaah sebelum menjalankan pemeriksaan.
"Anggota yang bertugas itu melaksanakan perkara yang wajib terlebih dahulu sebelum melakukan pemeriksaan dan mengambil tindakan.
"Dalam operasi sekitar jam 8 malam itu, didapati seorang daripada 27 jemaah yang menunaikan solat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak memakai pelitup muka," katanya.
Menurutnya, hasil temubual lelaki itu mengaku secara lisan sengaja tidak memakai pelitup muka.
"Polis telah mengeluarkan kompaun RM1,500 ke atas individu terbabit dibawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Didalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya.
Beliau berkata, pada operasi sama, polis turut mengenakan kompaun RM1,500 ke atas seorang jemaah ketika pemeriksaan di Masjid Ar Rahmaniah, Kampung Matang Gelugor, di sini.
"Lelaki terbabit didapati tidak memakai pelitup muka ketika berada di dalam masjid berkenaan," katanya.
Pada pagi Khamis, tular di media sosial Facebook beberapa keping gambar menunjukkan anggota polis menyertai solat jemaah di sebuah masjid di sini sebelum mengambil tindakan mengeluarkan kompaun ke atas jemaah yang ingkar SOP.
Rata-rata warganet memuji tindakan anggota polis terbabit kerana mendahulukan urusan wajib dan pada masa sama menjalankan tugas mengikut undang-undang.
Warganet menyifatkan tindakan kompaun itu adalah perlu sebagai peringatan memandangkan kes positif Covid-19 yang semakin meningkat selain risiko penularannya dalam kalangan jemaah di masjid dan surau.