KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Indusri Makanan (MAFI) memberi penekanan bagi meningkatkan produktiviti, memperkasa sistem sokongan dan perkhidmatan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Menteri Pertanian dan Indusri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, selain itu MAFI juga memperkukuh rantaian nilai makanan ke arah meningkatkan daya tahan sistem makanan.
Beliau berkata, pembangunan sektor agromakanan di bawah RMK12 akan dipacu menerusi usaha-usaha modenisasi dengan memberi tumpuan kepada perluasan adaptasi mekanisasi dan automasi untuk terus meningkatkan sumbangan sektor ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
"Komitmen MAFI untuk mempertahankan sekuriti makanan negara juga diperlihatkan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0, 2021-2030 (DAN 2.0)," katanya ketika menyampaikan ucaptama Seminar Sekuriti Makanan: Merealisasikan Keperluan Rakyat menerusi webinar pada Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah.
Beliau berkata, DAN 2.0 menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 2030 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan menyumbang aspirasi Malaysia dalam konteks ekonomi, pengurusan sosial dan kemampanan alam sekitar di bawah sektor agromakanan bagi tempoh sedekad.
Ronald percaya keberkesanan usaha-usaha dilaksanakan kerajaan dalam menjamin kemampanan sistem makanan dapat diukur menerusi pencapaian negara dalam indikator domestik dan antarabangsa seperti Tahap Sara Diri (SSL), Kadar Kebergantungan Import (IDR), Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) dan SDGs.
Dalam pada itu, Ronald turut memaklumkan gangguan pada sistem makanan sewaktu fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara jelas menunjukkan terdapat jurang dalam sistem makanan negara.
"Wabak (Covid-19) ini telah mendedahkan beberapa kelemahan dalam rantaian bekalan makanan negara dari segi logistik khususnya, apabila petani menghadapi kesukaran untuk memasarkan hasil pengeluaran mereka.
"Selain itu, sektor agromakanan juga menghadapi cabaran dari segi pengimportan memandangkan negara-negara sumber import telah melaksanakan dasar perlindungan atau protectionist untuk beberapa komoditi penting seperti beras,” katanya.
Namun, Ronald berkata gangguan dalam rantaian bekalan makanan negara ini berjaya diatasi kerajaan melalui hasil kerjasama antara kementerian dan agensi yang terlibat dimana tindakan pantas dan efektif telah diambil untuk menyelesaikan pelbagai masalah bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan makanan sepanjang masa. - Bernama