IPOH - Jabatan Perhutanan Perak berjaya menggagalkan cubaan mencuri dan membawa keluar hasil hutan di tiga lokasi berasingan pada Selasa dan Rabu lalu.
Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, pemantauan yang dijalankan penguat kuasa pada Selasa menemukan satu tunggul pokok yang telah ditebang untuk dijadikan kayu belah di sebuah jalan lama di sekitar Hutan Simpan Bintang Hijau, Daerah Hutan Larut dan Matang.
"Pemeriksaan ke atas tunggul pokok mendapati ianya adalah pokok dari spesies petaling dengan diameter 60 sentimeter (cm).
"Pemeriksaan lanjut mendapati tiada individu yang dikesan di kawasan tersebut. Penguat kuasa bertindak merampas dua motosikal disyaki milik suspek dan 93 batang kayu pagar," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Menurut beliau, semakan lanjut di dalam kawasan sebahagian Kompartmen 129, Hutan Simpan Bintang Hijau, Daerah Hutan Hulu Perak pada Rabu mengesan berlakunya aktiviti mengambil hasil hutan tanpa kebenaran.
"Semasa semakan dibuat penguat kuasa menemui dua motosikal bersama dua perangkap haiwan, guni pancang kayu dan sebilah pisau di lokasi berkenaan.
"Bagaimanapun, setelah tiga jam menunggu tiada suspek yang ditahan dan dipercayai telah melarikan diri setelah menyedari kehadiran pasukan," katanya.
Mohamed Zin berkata, suspek bukan sahaja menebang kayu, mereka dipercayai turut melakukan aktiviti pemburuan haram berdasarkan penemuan kesan belahan kayu dan perangkap haiwan di lokasi berkenaan.
"Kita berjaya mengesan identiti pemilik dua motosikal yang telah dirampas tersebut hasil bantuan daripada pihak polis Lenggong.
"Kedua-dua pemilik motosikal tersebut akan dipanggil bagi membantu siasatan sekaligus mengesan suspek-suspek yang terlibat dalam kes ini," katanya.
Katanya, seorang pemandu lori ditahan setelah pasukan penguat kuasa terserempak kenderaan itu yang membawa muatan kayu getah di Jalan Baling-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Langkor, Kati.
"Semakan mendapati pemandu lori terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran membawa hasil hutan.
"Dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar untuk siasatan lanjut sebelum dilepaskan dengan jaminan polis," katanya.
Katanya, lori berkenaan dirampas bersama 2,000 tual kayu getah dianggarkan berjumlah RM25,000.
"Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 81(1)(b), 81(1)(f) dan Seksyen 68(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984
"Selain penguatkuasaan akta berkenaan, semua aktiviti pengeluaran kayu getah perlu dilesenkan dan cukai hanya akan dikenakan bagi mana-mana tanah milik yang berkeluasan lebih 40 hektar," katanya.