Covid-19: Kelantan tambah dua lagi PKRC

Iklan
Dr Mohd Azman Yacob

KOTA BHARU - Dua lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) akan ditambah di negeri ini iaitu PKRC ke 12 dan 13.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, dua lokasi tersebut adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut dan Dewan Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) di Tanjung Chat, di sini.

Iklan
Iklan

"Untuk PKRC SMK Kampung Laut, seramai 200 pesakit boleh dimuatkan di sana iaitu dengan menggunakan blok lelaki dan wanita. Kita guna katil sedia ada dan kita telah menambah 50 katil dua tingkat.

"Kita lebih fokus untuk pesakit Covid-19 yang datang dari Teluk Rejuna dan Pulau Seratus serta Pulau Suri yang kini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Iklan

"Untuk PKRC JKKN Tanjung Chat pula, sebanyak 250 pesakit boleh ditempatkan di sana dan akan beroperasi sepenuhnya minggu depan.

"Ada beberapa perkara teknikal yang masih perlu diselesaikan seperti pendingin hawa dan sebagainya," katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan ke PKRC Dewan Jubli Perak, di sini pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, Dr Mohd Azman berkata, pihaknya juga dalam proses mengenal pasti beberapa lokasi yang bersesuaian untuk dijadikan PKRC berikutan peningkatan kes di negeri ini.