SHAH ALAM - Orang ramai dilihat tidak perlu menunggu lama di Dewan Jenjarum Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 11 di sini untuk menjalani ujian saringan Covid-19 secara percuma.
Tinjauan Sinar Harian pada Khamis mendapati dewan tersebut mula dipenuhi orang ramai sekitar jam 8 pagi, namun mereka tidak perlu beratur panjang kerana majoriti mereka sudah membuat pradaftar melalui aplikasi SELangkah.
Perkhidmatan ujian saringan secara pandu lalu turut disediakan dengan jumlah petugas kesihatan yang lebih ramai daripada sebelumnya, selain perkhidmatan secara ‘walk-in’.
Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Korporat Selgate Corporation, Nurafida Zamri berkata, pihaknya menempatkan lebih ramai petugas di kedua-dua stesen ‘walk-in’ dan pandu lalu untuk memastikan orang ramai tidak menunggu lama.
Selain itu, katanya, pihak penganjur turut menyediakan slot masa kepada peserta yang mendaftar menerusi aplikasi SELangkah untuk memudahkan mereka memilih masa sesuai dengan jadual harian bagi menjalani ujian saringan tersebut.
"Kami memilih untuk menempatkan lebih ramai kumpulan perubatan iaitu seramai lapan orang doktor ditempatkan di kaunter ‘walk-in’, manakala empat orang doktor pula di stesen pandu lalu supaya peserta tidak berada di kawasan ujian saringan terlalu lama.
"Berdasarkan pengalaman lepas, kami turut menyediakan slot masa kepada peserta supaya mereka tidak perlu datang sekali gus, sebaliknya datang pada masa ditetapkan bagi mengurangkan kesesakan di sini,” katanya di sini pada Khamis.
Sementara itu, salah seorang yang hadir, Rabiatul Adawwiah Zainal Abidin, 28, berkata, dia dan keluarga mengambil inisiatif untuk menjalani ujian saringan Covid-19 di sini sebagai langkah berjaga-jaga.
Dia yang membawa enam orang ahli keluarga termasuk ibu bapa, suami dan dua anak bersama berkata, masa menunggu ujian tersebut hanya selama lima minit kerana dia sudah pradaftar di aplikasi SELangkah sejak Rabu dan turut diberikan laluan khas.
"Ayah dan suami saya bekerja, jadi saya khuatir dengan kes harian Covid-19 yang meningkat menyebabkan kami membuat keputusan untuk jalani saringan sebagai langkah berjaga-jaga.
"Bila saya daftar di aplikasi SELangkah, kod bar sudah ada, jadi tak perlu beratur panjang untuk memasuki dewan kerana masanya tak sampai lima minit. Terima kasih sangat kepada kerajaan Selangor atas inisiatif ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Salina Januri, 53, turut diberikan laluan khas yang memendekkan masa menunggu kepada lima minit sebelum menjalani ujian saringan di sini.
Dia yang menjalani ujian saringan untuk kali kelima datang menjalani ujian saringan selepas mendapati dirinya mempunyai simptom seperti sakit kepala.
"Memandangkan kes Covid-19 terlalu tinggi dan wujud individu yang positif tapi tidak bergejala, jadi saya ambil langkah berjaga-jaga.
"Saya cadangkan orang ramai terutama golongan kurang berkemampuan untuk menjalani ujian saringan percuma ini. Inisiatif kerajaan negeri ini sangat bagus dan memudahkan saya,” katanya yang tinggal di Puchong Permai, Puchong.