SUNGAI PETANI - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi dituntut membuat permohonan maaf terbuka kepada Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berikutan ciapan di akaun Twitter yang dianggap kurang sopan.
Pengerusi Biro Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Firdaus Yusoff mendakwa, Najwan membuat ciapan yang terang-terangan cuba menjatuhkan imej Raja Permaisuri Agong.
Menurut beliau, status Twitter wakil rakyat itu berbunyi 'Qu'ils mangent de la brioche' yang membawa maksud 'biarkan mereka makan kuih' yang juga menunjukkan gambar kek cawan yang disediakan oleh Tunku Azizah kepada petugas barisan hadapan.
"Ayat ini popular pada era Revolusi Perancis yang membawa kemarahan rakyat sehingga terjadinya revolusi di negara tersebut," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Mohd Firdaus berkata, Najwan Halimi dilihat cuba memainkan sentimen kebencian kepada rakyat dan memburukkan Raja Permaisuri Agong dengan ayat di atas.
"Sebagai seorang wakil rakyat, tindakan beliau sangat biadab dan kurang sopan.
"Bagaimana seorang pemimpin muda sebegini mengajar masyarakat dengan memburukkan imej seorang Raja Permaisuri Agong.
"Tiada contoh atau perkara yang baik dalam situasi pandemik Covid-19 yang dilakukan selain membantu rakyat dan kerajaan?" dakwanya.
Susulan itu, Mohd Firdaus berkata, lebih 10 laporan polis telah dibuat di beberapa buah negeri termasuk di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan sebagai mendesak agar polis menyiasat serta mendakwa individu itu.
"Ia perlu dilaksanakan dengan kadar segera demi menjaga martabat Raja-raja Melayu sebagai tiang seri negara.
"Tindakan sewajarnya sangat perlu sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya ia tidak berlaku lagi di masa hadapan apatah lagi dari seorang yang bergelar wakil rakyat," katanya.