KUALA LUMPUR - Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini akan beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mulai Isnin ini.
MITEC dipilih berikutan kemampuannya untuk menampung sebahagian besar jumlah vaksinasi yang merupakan pengambilalihan program vaksinasi yang dilaksanakan di PPV Dewan Komuniti Manjalara dan PPV Stadium Titiwangsa.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, MITEC memaklumkan pusat yang meliputi kawasan 30.2 hektar di KL Metropolis dengan ruang acara seluas 51,000 meter persegi, dijangka menerima kemasukan calon kategori warga emas sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di PPV sedia ada.
Pengerusi Prisma Galeri Sdn Bhd, Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata, adalah penting bagi sektor awam dan swasta untuk bersama-sama membantu mencapai imuniti kelompok dan melandaikan keluk jangkitan Covid-19.
Proses suntikan vaksin di MITEC akan dikendalikan oleh petugas Jabatan Kesihatan Titiwangsa dan Jabatan Kesihatan Manjalara.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Operasi MITEC, Mala Dorasamy berkata, sebanyak 2,600 dos akan diberikan setiap hari bagi fasa percubaan pengoperasian di MITEC.
"Ia dijangka meningkat daripada 5,000 dos ke 8,000 dos sehari. MITEC juga akan membantu individu yang mempunyai masalah pergerakan,” katanya.
Menekankan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi penjarakan fizikal dan kawalan orang ramai terutama dengan kehadiran kategori warga emas berisiko tinggi, Mala memberi jaminan bahawa garis panduan sudah disediakan dan akan dilaksanakan sepanjang proses tersebut.
"Hanya ada satu pintu masuk dan keluar melalui Pintu Masuk Selatan dan hanya yang berdaftar dibenarkan masuk. Bagi memastikan keselamatan orang ramai, mereka yang datang secara 'walk-in' tidak dibenarkan hadir dan hanya mereka yang berdaftar dengan janji temu dibenarkan di satu stesen mega yang merangkumi dua dewan pelbagai fungsi,” tambahnya.
Bagi pengunjung yang mengalami masalah fizikal dari segi pergerakan, MITEC menyatakan pihaknya akan menyediakan kemudahan seperti kereta bugi di tempat letak kereta, kerusi roda dan lorong khas.
Orang ramai boleh melayari laman web MITEC di www.mitec.com.my, www.facebook.com/MITEC.MY atau menghubungi 03-6206 0100 untuk maklumat lanjut.
Pendaftaran untuk vaksinasi boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera atau melayari https://www.vaksincovid.gov.my/en/ atau menghubungi 1800-888-828 untuk mendaftar. - Bernama