MALAYSIA Building Society Berhad (MBSB) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM111.28 juta pada suku pertama tahun 2021 iaitu penurunan 46.02 peratus atau RM94.88 juta berbanding pada suku keempat tahun 2020.
Ia disebabkan penurunan nilai bersih yang lebih tinggi, kerugian pengubahsuaian yang dikenakan kerana lanjutan moratorium kepada golongan B40 dan M40 serta pendapatan operasi yang lebih rendah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, MBSB perlu bertahan kepada tekanan ekonomi kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) dan beberapa faktor lain yang mempengaruhi keuntungannya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kewangan perdagangan tetap aktif dengan pengeluaran lebih daripada RM900 juta pada suku pertama tahun 2021.
"Pendapatan kumpulan mencatatkan pendapatan lebih rendah iaitu RM680.98 juta berbanding RM752.17 juta berbanding suku keempat pada tahun 2020. Pendapatan bersih juga menurun kepada RM424.84 daripada RM447.77 juta pada suku keempat pada tahun 2020.
"Meskipun persekitaran ekonomi yang tidak menentu, MBSB yakin dapat menguruskan kesan berterusan akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ahmad Zaini berkata, berdasarkan kepada PKP 3.0 yang diumumkan baru-baru ini, MBSB menjangkakan tekanan kewangan akan berlaku terhadap sebilangan pelanggannya tetapi MBSB akan membantu mereka.
"Kami akan berusaha meningkatkan segmen runcit dengan menyediakan kepada pelanggan menerusi perbankan digital,” katanya.
Beliau berkata, melalui Journey 25 atau ‘J25’, MBSB akan meningkatkan usahanya dalam infrastruktur teknologi maklumat untuk menyokong kemampuan digital baharu.
"Ini sejajar dengan matlamat kami untuk menjadi institusi kewangan Islam yang matang menjelang tahun 2025,” katanya.