IPOH - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Perak akan memulakan kempen menggalakkan pendaftaran dan pengambilan vaksin di seluruh negeri ini.
Ketuanya, Mior Nor Haidir Sulaiman berkata, usaha itu digerakkan susulan laporan media bahawa lebih 9,000 penduduk di Perak dikesan gagal hadir menerima suntikan vaksin pada tarikh yang telah ditetapkan.
Menurut beliau, lebih membimbangkan sebahagian besar yang tidak hadir untuk vaksinasi membabitkan usia 60 tahun ke atas iaitu golongan paling mudah dan terkesan dengan pandemik ini.
"Pejuang Perak akan menggerakkan jentera dengan menyantuni penduduk setempat terutamanya di kawasan luar bandar seperti di Parlimen Sungai Siput, Tanjung Malim, Bukit Gantang, Tambun dan Padang Rengas untuk membantu pendaftaran serta menghantar mereka ke pusat pengambilan vaksin.
"Kami juga mengalu-alukan agensi kerajaan negeri, syarikat milik kerajaan negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), badan kebajikan kariah atau kampung, persatuan belia untuk bersama membantu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mior Nor Haidir berharap mereka bersama menggembleng tenaga dalam usaha mengurangkan ketidakhadiran itu seterusnya meningkatkan lagi jumlah pendaftar vaksin di negeri ini.
Pada 26 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan lebih 9,000 penduduk di Perak dengan sebahagian besar berusia 60 tahun ke atas dikesan gagal hadir menerima suntikan vaksin pada tarikh ditetapkan.
Menurut Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming, jumlah itu membabitkan individu yang dijadualkan menerima dos pertama bagi pemberian vaksin fasa kedua.
ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 9,000 tidak hadir terima vaksin di Perak