Ops Jangkar Haram: Kapal tangki Denmark ditahan

Iklan
Kapal tangki dari Denmark yang didapati bersauh tanpa kebenaran dalam Op Jangkar Haram di perairan Johor Timur, pada Khamis. - Foto Maritim

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Johor telah menahan sebuah kapal tangki dari Denmark yang didapati bersauh tanpa kebenaran dalam Ops Jangkar Haram di perairan Johor Timur pada Khamis.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki berdaftar dari Denmark itu telah ditahan di kedudukan 23.8 batu nautika timur Tanjung Gemoh pada jam 6.51 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penahanan itu dibuat semasa aset Maritim sedang melaksanakan rondaan rutin dan telah mengesan sebuah kapal tangki bersauh di lokasi yang tidak dibenarkan.

"Pemeriksaan awal mendapati kapal berukuran 183 meter itu dikendalikan oleh 19 kru termasuk nakhoda yang terdiri daripada warga Rusia, Filipina, India, Ukraine dan Romania berumur antara 23 hingga 49 tahun serta memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Iklan

"Namun, nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh serta pemakluman ketibaan di perairan Malaysia.

"Seorang kru juga telah dibawa ke darat bagi proses saringan Covid-19 sebelum dibawa ke Unit Siasatan Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Jelasnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Nurul Hizam berkata, sebanyak 42 buah kapal telah ditahan dalam Ops Jangkar Haram dan menjadikan keseluruhan kes di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 oleh Maritim Negeri Johor bagi tahun 2021 sehingga Jumaat adalah 62 kes.

Tegasnya, Maritim sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) diambil serius bagi mengekang penularan varian virus Covid-19 dari pelaut-pelaut yang datang dari pelbagai negara.

"Kita juga ingin nasihatkan kepada semua pemilik dan nakhoda kapal supaya memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi sebelum memasuki serta bersauh di perairan Malaysia.

"Pihak Maritim akan sentiasa memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara dipelihara," katanya.