Pelanggan lebih dua jam di premis dikompaun RM2,000

Iklan
Anggota penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemantauan terhadap pelanggan bagi memastikan mereka membeli barangan tidak melebihi had masa ditetapkan.

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu giat menjalankan operasi had maksimum dua jam (Ops Had 2J) bagi memantau mana-mana pelanggan yang berada di dalam premis melebihi dua jam.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, operasi itu dijalankan bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan kompaun akan dikenakan ke atas mereka yang ingkar.

Iklan
Iklan

"Ops Had 2J bermula Rabu memberi tumpuan kepada pasar raya, kompleks beli-belah, pasar tani, pasar malam dan lain-lain premis yang menjadi tumpuan orang ramai.

"Operasi ini juga akan dijalankan secara bersepadu melibatkan agensi penguatkuasaan yang lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu, beliau menegaskan individu yang didapati melanggar had masa maksimum dua jam akan dikenakan kompaun sebanyak RM2,000.00 berdasarkan kuasa kompaun yang telah diberikan kepada pihak kementerian.

"Orang ramai disarankan merancang perjalanan dan menyenaraikan barangan yang ingin dibeli terlebih dahulu serta segera beredar dari premis setelah urusan selesai.

Iklan

"Premis perniagaan pula perlu meletakkan seorang pekerja untuk memantau tempoh masa pelanggan berada di premis, menampal notis jumlah had pelanggan yang dibenarkan di pintu masuk premis, menyediakan alat pengimbas suhu, buku rekod, QR kod MySejahtera.

"Selain itu mereka perlu melakukan penilaian risiko terhadap pelanggan melalui semakan suhu badan serta memastikan hanya pelanggan dengan status 'Low Risk' dalam MySejahtera sahaja yang dibenarkan masuk ke kompleks atau premis masing-masing," katanya.

Saharuddin berkata, seramai 174 anggota KPDNHEP Terengganu akan menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan SOP ditetapkan dipatuhi serta memantau harga barang.

"Seramai 115 orang Pegawai Penguatkuasa dan 59 orang Pegawai Pemantau Harga akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan keberadaan serta kestabilan harga barang-barang keperluan harian di pasaran terutamanya dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebarang maklumat salah laku atau aduan boleh disalurkan kepada KPDNHEP bagi memastikan para peniaga dan pengguna sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.