SERDANG - Sektor perladangan di Malaysia mengalami masalah kekurangan tenaga kerja yang kritikal ketika ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, sejak awal tahun lalu, seramai 1.7 juta pekerja asing direkodkan bekerja di negara ini dalam pelbagai sektor.
Bagaimanapun, katanya, angka itu menurun kepada 1.2 juta selepas ramai yang pulang ke negara asal susulan penularan wabak Covid-19, ditambah dengan pembekuan pengambilan pekerja oleh kerajaan.
Beliau berkata, ketika ini hampir setengah juta tenaga kerja diperlukan di pelbagai sektor di negara ini terutama perladangan.
"Industri sawit kita pada ketika ini dalam prestasi yang sangat baik dan mampu menjana pendapatan tinggi untuk negara. Tetapi kita kekurangan tenaga kerja, manakala rakyat tempatan pula kurang berminat untuk menceburi bidang ini.
"Kabinet dan jawatankuasa khas sudah meluluskan kemasukan sebanyak 32,000 pekerja asing khas untuk perladangan, tetapi terpaksa ditangguh kerana Covid-19," katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai Operasi Pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Seri Kembangan di sini pada Jumaat.
Saravanan berkata, kementerian bagaimanapun sentiasa mengutamakan pengambilan tenaga kerja tempatan berbanding pekerja asing.
"Saya tegaskan kepada majikan untuk mengutamakan pekerja tempatan, tetapi kementerian juga harus berlaku adil kepada majikan. Ini kerana rakyat tempatan tidak mahu bekerja di dalam sesetengah sektor.
"Dalam keadaan semasa, kita tidak boleh memilih pekerjaan. Kadar pengangguran terkini adalah sebanyak 4.7 peratus dan jangkaan akan ada kenaikan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0," katanya.
Saravanan turut menggesa majikan mematuhi Akta 446 dan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja.