RAMALLAH - Palestin pada Khamis menyambut baik keputusan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) untuk membentuk sebuah jawatankuasa bebas bagi menyiasat pencabulan Israel di wilayah Palestin, lapor Xinhua.
Semasa sesi khas, UNHRC memutuskan untuk melancarkan siasatan antarabangsa terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan Israel di wilayah Palestin yang diceroboh sejak April, setelah 24 negara anggota menyokong dan sembilan menentang, sementara 14 yang lain berkecuali.
Keputusan itu menuntut siasatan terhadap tindakan ganas tentera Israel dan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, serta 'faktor utama' ketegangan antara kedua-dua pihak.
Kementerian Luar Palestin dalam satu kenyataan berkata, 24 negara anggota yang menyokong keputusan itu 'berdiri untuk keadilan, hak dan pertanggungjawaban'.
"Pembentukan jawatankuasa itu mencerminkan desakan masyarakat antarabangsa untuk pertanggungjawaban, pelaksanaan undang-undang dan melindungi hak asasi kemanusiaan penduduk Palestin," tambah kenyataan itu.
Pengarah bahagian media gerakan Hamas di Gaza, Ahmad Murra mengatakan Hamas menganggap keputusan UNHRC sebagai 'langkah yang betul'.
Dalam satu kenyataan akhbar, Murra mengatakan adalah 'penting untuk mencapai kebenaran, memastikan keadilan buat penduduk Palestin dan mendedahkan pencabulan Israel,' merujuk kepada keganasan 11 hari baru-baru ini di Semenanjung Gaza yang berakhir pada 21 Mei lalu. - Bernama