KEHADIRAN pemain kacukan Malaysia – England, Nick Swirad, 30 bersama kelab Sri Pahang FC dilihat bakal membantu mengukuhkan lagi benteng pertahanan skuad berkenaan bagi mengharungi saingan Liga Super, musim ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang Swirad yang memiliki pengalaman beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) bersama beberapa kelab seperti Johor Darul Ta’zim II (JDT II), PKNS FC, Melaka United, Selangor dan kelab Thailand, Nongbua Pitchaya diyakini mampu membentuk gandingan mantap bersama kesebelasan sedia ada.
Bagaimanapun Mohammed Suffian berkata, sebagai permulaan pihaknya hanya menandatangani kontrak selama enam bulan dengan Swirad.
"Kita sahkan bahawa kita telah menandatangani pemain baharu untuk Sri Pahang FC iaitu Nick Swirad yang beraksi di posisi pertahanan tengah bagi tempoh enam bulan dan sekiranya kita dapati prestasinya memberangsangkan, kita akan lanjutkan lagi kontrak berkenaan.
"Lagi pun, Swirad adalah seorang pemain yang versatile (serba boleh) kerana walaupun dia seorang pemain pertahanan tengah, tetapi dia juga boleh beraksi di pelbagai posisi seperti di sebelah kanan (pertahanan).
"Malah, secara taktikalnya, Swirad juga boleh diletakkan sebagai pemain tengah bertahan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Kehadiran Swirad menjadikannya pemain kelima yang menyertai Sri Pahang FC namun dibawah kuota pemain tempatan setelah empat pemain import Aung Kaung Mann dari Myanmar, Manuel Hidalgo (Argentina), Abu Bakar Yakubu (Ghana) dan Kenny Athiu (Australia).
Tambah Mohammed Suffian, selepas kehadiran Swirad tiada lagi pemain baharu yang bakal menyertai Sri Pahang FC berikutan tarikh tutup bagi perpindahan pemain adalah pada 31 Mei (Isnin) ini.
Sementara itu Mohammed Suffian berkata, skuad Tok Gajah itu bakal menjalani latihan mengikut kaedah camp base training di Pekan, Pahang mulai minggu hadapan.
Katanya, di sepanjang latihan berkenaan kesemua pemain dan pegawai pasukan akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Kita juga telah meminta kebenaran daripada MFL untuk adakan sesi latihan ini dan menurut MFL ia (latihan) perlu dibuat mengikut kaedah ‘bubble’ (gelembung sukan) selama latihan berlangsung,” katanya.