KUANTAN - Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram) mahu lima perkara diberi perhatian khusus oleh kerajaan sekiranya aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit diteruskan.
Pengerusinya, Ali Akbar Othman berkata, Geram sejak awal penubuhannya tidak menghalang industri bauksit namun perlaksanaannya perlu kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas.
Katanya, SOP yang jelas itu juga perlu didedahkan kepada umum.
"Langkah itu penting supaya rakyat tahu dan boleh memainkan peranan sebagai pemantau sekiranya pemain industri tersebut gagal mematuhinya.
"Selain itu, kita minta agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) dilibatkan sama bagi membantu dalam aspek penguatkuasaan. Tiada makna jika SOP diwujudkan tetapi tiada langkah penguatkuasaan yang berkesan,” katanya.
Ali Akhbar berkata, perkara ketiga yang perlu beri perhatian adalah, pemain industri perlu membayar bon jaminan RM1 juta sebagai deposit ingkar SOP.
"Hukuman sedia ada iaitu penjara tiga tahun dan denda RM500 di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1975 seperti yang dimaklumkan menteri kepada pemain industri yang ingkar dilihat tidak mencukupi.
‘Jadi, sebagai tambahan, mereka perlu bayar bon jaminan ini dan jika berlaku perlanggaran SOP, bon tersebut hangus manakala lesen dan permit mereka perlu dibatalkan,” katanya.
Beliau berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar juga perlu dilibatkan dalam sebarang sesi dialog bersama pemegang taruh.
"Seterusnya, kita minta kerajaan beri jaminan agar skrip 'bangau oh bangau' tidak berulang jika industri ini diteruskan,” katanya.