SHAH ALAM - Ekonomi negara menunjukkan tanda-tanda pemulihan secara beransur-ansur apabila beberapa indikator ekonomi utama mula memperlihatkan prestasi yang lebih baik pada suku pertama tahun ini.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, perkembangan itu selari dengan trend pertumbuhan ekonomi kebanyakan negara di seluruh dunia yang mula mencatatkan pertumbuhan positif bagi tempoh sama meskipun krisis kesihatan masih berlarutan.
"Ekonomi Amerika Syarikat pulih kepada pertumbuhan positif 0.4 peratus setelah mencatatkan pertumbuhan negatif selama tiga suku tahun berturut-turut manakala ekonomi Kesatuan Eropah (EU) bertambah baik dengan penguncupan lebih perlahan sebanyak 1.7 peratus.
"Di rantau Asia Timur, China, Taiwan dan Korea Selatan menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang positif iaitu lebih baik berbanding suku tahun sebelumnya.
"Bagi negara-negara ASEAN, ekonomi Singapura meningkat 1.3 peratus manakala Indonesia dan Filipina mencatatkan penurunan yang lebih kecil masing-masing 0.7 peratus dan 4.2 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas mengenai situasi ekonomi negara pada suku pertama tahun ini, Mohd Uzir berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara menunjukkan prestasi lebih baik apabila merekodkan penyusutan marginal 0.5 peratus berbanding penguncupan 3.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.
"Peningkatan ini disokong oleh pengembangan dalam sektor pembuatan dan pemulihan sektor pertanian. Di samping itu, semua sektor ekonomi mencatatkan prestasi yang lebih baik berbanding dua suku tahun terakhir.
"Ekonomi Malaysia pada suku tahun ini juga pulih secara beransur-ansur selepas lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 berbanding pelaksanaan lebih ketat ketika PKP 1.0 pada Mac 2020.
"Pelbagai pakej rangsangan yang diperkenalkan juga mendorong pemulihan ekonomi dan mengurangkan kesan potensi kerugian ekonomi negara ini,” jelas beliau.
Tambah Mohd Uzir, turut menunjukkan prestasi memberangsangkan pada suku pertama 2021 ialah Imbangan Akaun Semasa Malaysia (CAB) yang terus mencatatkan lebihan apabila merekodkan sebanyak RM12.3 bilion berbanding RM18.6 bilion pada suku tahun sebelumnya dengan didorong oleh momentum positif eksport bersih barangan.
Menurutnya, Pelaburan Langsung Asing (FDI) turut mencatatkan aliran masuk lebih tinggi sebanyak RM9.1 bilion berbanding RM6.8 bilion pada suku tahun sebelumnya disebabkan oleh aliran masuk ekuiti dan pelaburan boleh dilabur semula yang lebih tinggi serta aliran masuk lebih rendah terhadap instrumen hutang.
"Pada masa sama, Pelaburan Langsung Asing di Luar Negeri (DIA) oleh syarikat Malaysia turut mencatatkan peningkatan apabila didorong oleh pembukaan semula ekonomi global dengan merekodkan RM7.8 bilion pada suku pertama 2021 daripada RM5.2 bilion pada suku tahun sebelumnya.
"Peningkatan DIA itu adalah disebabkan oleh pelaburan terhadap ekuiti di luar negara dan pendapatan boleh dilabur semula yang lebih tinggi pada suku tahun ini.
"Sementara itu, perdagangan Malaysia terus meningkat dengan mencatatkan jumlah kenaikan dua digit sebanyak 14.8 peratus tahun ke tahun. Sejajar dengan ini, imbangan perdagangan Malaysia kekal merekodkan lebihan sebanyak RM58.6 bilion,” katanya.
Pada tempoh sama, katanya, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 3.9 peratus dengan sokongan oleh pertumbuhan ketara indeks pembuatan.
Beliau bagaimanapun berkata, prestasi sektor perkhidmatan yang merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara masih terkesan kerana jumlah hasil dan indeks volum menyusut namun pada kadar yang lebih perlahan berbanding pada suku tahun yang lepas.
Selain itu, Mohd Uzir berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) pada suku pertama 2021 meningkat 0.5 peratus kepada 122.5 berikutan peningkatan indeks makanan dan minuman bukan alkohol (1.5 peratus) dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (1.5 peratus).
"Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan juga meningkat 3.0 peratus kepada 108.5 disumbangkan oleh kenaikan indeks pertanian, perhutanan dan perikanan (32.6 peratus), pembuatan (1.6 peratus) dan bekalan air (0.4 peratus).
"Pada masa sama, indeks perlombongan serta bekalan elektrik dan gas masing-masing mencatatkan penurunan 7.3 peratus dan 1.7 peratus,” ujarnya.
Pasaran buruh tidak menentu
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, keadaan pasaran buruh di dalam negara menunjukkan sedikit ketidaktentuan berikutan langkah bersasar yang dilaksanakan kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19.
Katanya, ketidaktentuan momentum pemulihan dalam pasaran buruh dapat diperhatikan apabila bilangan penduduk bekerja menurun sedikit kepada 0.04 peratus tahun ke tahun kepada 15.24 juta orang, manakala kadar pengangguran kekal tinggi melebihi empat peratus dengan merekodkan 4.8 peratus pada suku pertama 2021.
"Dari sudut permintaan buruh, bilangan jawatan dalam sektor ekonomi berkurang sedikit dipengaruhi penurunan dalam jawatan diisi, sementara kekosongan mencatatkan peningkatan kecil.
"Secara keseluruhannya, pasaran buruh masih berada dalam situasi yang mencabar dan belum kembali seperti keadaan sebelum Covid-19 melanda negara,” jelasnya.
Mohd Uzir berkata, berdasarkan prestasi beberapa indikator ekonomi utama negara itu, pertumbuhan ekonomi dijangka lebih kukuh pada suku kedua 2021 disebabkan kesan asas yang lebih rendah apabila ekonomi merosot 17.1 peratus pada suku tahun kedua 2020.
Beliau bagaimanapun berkata, pemulihan ekonomi turut bergantung kepada tahap kawalan jangkitan Covid-19 dapat dikawal dan impak pelaksanaan PKP 3.0 dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat terhadap sektor ekonomi dan sosial.
"Lanjutan bagi perkara ini, Indeks Pelopor (IP) pada Mac 2021 mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada 17.3 peratus terutamanya disebabkan kesan asas yang rendah pada Mac 2020 susulan ‘lockdown’ dilaksanakan di seluruh negara dan disokong oleh prestasi komponen IP lebih baik.
"Mengambil kira prestasi IP dan situasi semasa wabak Covid-19, prospek ekonomi dalam jangka pendek dilihat adalah menggalakkan namun dalam persekitaran yang mencabar.
"Oleh itu, komitmen semua individu sangat penting dalam mengawal situasi pandemik semasa bagi mengembalikan momentum ekonomi dalam beberapa bulan akan datang,” jelasnya.