'Rasulullah pernah larang keluar, masuk kawasan wabak'

Iklan
Abdul Rahman Osman

KUANTAN - Aktiviti merentas negeri dan daerah bukan sahaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan, sebaliknya ia disifatkan melanggar saranan Nabi Muhammad SAW.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, larangan merentas kawasan ketika tercetus wabak sudah dinyatakan secara jelas menerusi sabda Rasulullah kira-kira 1,400 tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sabda baginda itu masih relevan sehingga hari ini dan boleh dipraktikkan dalam situasi negara yang sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

"Kita terlalu mementingkan SOP hingga mengabaikan perkara utama yang sudah diingatkan Rasulullah melalui sabdanya yang melarang keluar dan masuk di kawasan berlakunya wabak. Itu adalah satu garis panduan yang jelas ditentukan Rasulullah bagaimana kita hendak memutuskan rantaian wabak ini.

Iklan

"Tindakan kerajaan memperketatkan aktiviti merentas daerah dan negeri sepatutnya perlu dipatuhi dan diberi perhatian kerana inilah sebenarnya cara seperti disarankan Rasulullah.

"Jika kita tidak patuh arahan ini, secara tidak langsung kita seolah-olah tidak mendengar dan tidak menghormati saranan Rasulullah dan boleh mengakibatkan kita berdosa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Isap Damai pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai punca peningkatan kes Covid-19 di Pahang yang didakwa berpunca daripada pelanggaran peraturan oleh masyarakat.

Abdul Rahman menjelaskan, hadis Rasulullah adalah perlu difahami dan dijadikan rujukan ketika berdepan situasi wabak berlaku di dalam negara.

Tegasnya, rakyat perlu memghayati sabda itu dengan melihat Covid-19 sebagai ancaman dan wabak terbabit sukar dikawal jika rakyat gagal mematuhi SOP.

"Pematuhan sepatutnya bermula di peringkat mukim sebelum daerah dan negeri. Kalau di peringkat mukim sudah boleh dikawal (pergerakan), tidak ada masalah untuk memutuskan rantaian (wabak) Covid-19.

"Begitu juga dengan aktiviti di masjid atau surau, kalau ahli jawatankuasa (AJK) masjid boleh memastikan hanya ahli kariah mereka yang hadir untuk solat Jumaat dan solat fardu yang lain, tidak ada masalah untuk dibenarkan masjid itu dibuka.

"Tetapi yang menjadi isu, AJK masjid tidak dapat memastikan hanya ahli kariah yang datang dan kita bimbang ada orang luar (bukan ahli kariah) turut hadir, hingga boleh mencetuskan penularan wabak," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahkan kerajaan dan pihak berkuasa yang menguatkuasakan larangan merentas daerah dan negeri.

Tegasnya, itu adalah keputusan terbaik dalam usaha menamatkan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

"Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya patuhi larangan (rentas daerah dan negeri) diumumkan kerajaan.

"Kita perlu peka bahawa keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil pertimbangan sewajarnya dan menilai daripada pelbagai aspek," katanya.