KUALA LUMPUR - Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham) dan seluruh komuniti perniagaan bersedia menyumbang serta membantu mempercepatkan program vaksinasi di Malaysia.
EuroCham berkata, pihaknya mahu membantu mempercepatkan program vaksinasi kerajaan dan juga menerapkan model kerjasama awam-swasta untuk perolehan dan penghantaran vaksinasi yang ketika ini dalam perbincangan.
"Eurocham dan komuniti perniagaan komited untuk melandaikan lengkung penularan Covid-19 dan memerangi pandemik itu dengan rakyat dan kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, sumbangan ventilator perubatan kepada Kementerian Kesihatan baru-baru ini adalah satu lagi inisiatif penting untuk membantu meringankan beban sistem penjagaan kesihatan Malaysia.
Sambil memuji keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya, Eurocham berkata, pihaknya terus meningkatkan usaha komunikasi dengan pemain industri di Kesatuan Eropah (EU) untuk memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) telah difahami oleh para anggotanya untuk membolehkan pematuhan sepenuhnya.
Selain itu, pihaknya akan terus mempromosikan semua peluang berkaitan vaksinasi kepada masyarakat.
Berdasarkan maklum balas semasa, Eurocham berkara perniagaan EU di Malaysia telah beroperasi dan mematuhi standard kesihatan dan keselamatan tertinggi untuk mengelakkan jangkitan di tempat kerja. - Bernama