SHAH ALAM - Seorang pengguna laman sosial media mendakwa wujudnya kartel pengurusan jenazah yang mengenakan harga perkhidmatan tinggi.
Berdasarkan perkongsian di laman Twitter miliknya, individu terbabit memberitahu, dia telah diminta untuk membayar sebanyak RM1,800 bagi menguruskan jenazah ibu saudaranya yang meninggal dunia di sebuah hospital awam baru-baru ini.
Tambahnya, kadar yang dikenakan itu tidak termasuk dengan upah penggali kubur yang perlu dibayar terlebih dahulu sebanyak RM750.
"Baru ini ibu saudara saya meninggal akibat Covid-19, tetapi kerana menunggu ujian PCR post mortem, kami kena tunggu sehari untuk pengurusan jenazah.
"Saya diberitahu jenazah diuruskan oleh sebuah NGO dan kos pengurusan adalah RM1,800. Ini tidak termasuk RM750 yang kami sudah bayarkan kepada penggali kubur.
"RM1,800 ini adalah satu pakej termasuk mandikan, solat dan pengangkutan ke tanah kubur yang terletak kurang daripada dua kilometer dari hospital,” ciapnya di Twitter pada Jumaat.
Pihaknya juga tidak dibenarkan untuk mengurus mayat sendiri namun hanya dibenarkan membawa mayat ke kubur untuk urusan pengebumian.
Katanya, mereka juga dikehendaki untuk membayar RM700 sebagai wang pendahuluan kepada NGO tersebut untuk pakej mandi dan solat jenazah.
"Dalam keadaan terpaksa kami bersetuju untuk membayar RM700 bagi menyegerakan urusan pengebumian.
"Kemudian dalam masa tidak sampai 10 minit lepas pengecaman mayat, tiba-tiba kami diberitahu, mayat sudah boleh diambil.
"Ini kerana, mayat akibat Covid-19 tidak akan dimandikan tapi hanya ditayammum tetapi kami masih perlu bayar RM700 untuk pakej tayammum dan solat,” ujarnya.
Luah lelaki berkenaan, perkara itu telah menyebabkan perasaan ahli keluarga terganggu dan sedih.
"Dahlah emosi dirobek bila ahli keluarga tak dapat melihat arwah buat kali terakhir.
"Sudah hujung nyawa pun kena caj tinggi oleh penunggang agama. Macam mana nasib orang lain yang tak mampu bayar sehingga terpaksa meminjam untuk menguruskan mayat," luahnya memberitahu perkara tersebut turut mengecewakan bapa saudaranya seolah-olah isu kematian dijadikan seperti barang niaga.