Percepat program vaksinasi negara

Iklan
Gambar hiasan

PERKEMBANGAN semasa menunjukkan pandemik Covid-19 yang melanda negara tidak akan selesai hanya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ataupun menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bukanlah kedua perkara itu tidak mampu melandaikan kadar jangkitan, tetapi sikap warga kita juga yang menjadikan pematuhan dan penguatkuasaannya itu nampaknya semakin mencabar.

Iklan
Iklan

Justeru, jalan terakhir bagi menghalang penularan wabak ini hanya menerusi program vaksinasi, walaupun ia bukanlah penawar yang mujarab.

Program vaksinasi ke atas seluruh warga menerusi liputan imuniti yang tinggi atau imuniti kelompok dilihat jalan terbaik bagi mencegah penularan wabak tersebut.

Iklan

Bagi yang masih belum faham apa itu imuniti kelompok, ia adalah suatu keadaan di mana penularan jangkitan penyakit tidak dapat berlaku kerana sebahagian besar masyarakat mempunyai imuniti atau daya tahan terhadap jangkitan yang diperoleh hasil daripada proses imunisasi.

Sebab itulah program vaksinasi terutamanya terhadap kelompok masyarakat yang rentan perlu segera dilakukan.

Iklan

Kekurangan

Walaupun begitu, program vaksinasi negara nampaknya masih jauh daripada apa yang diharapkan. Untuk rekod, data daripada laman web ourworldindata.org menunjukkan kadar vaksinasi negara sehingga 25 Mei lalu (sekurang-kurangnya telah menerima satu dos vaksin) terlalu rendah di sekitar 5.35 peratus walaupun ia sudah dimulakan sejak Februari 2021.

Dari kedudukan ranking serantau, kita berada di tangga keempat di belakang Singapura (36.11 peratus), Kemboja (13.64 peratus) dan Indonesia (5.45 peratus). Jadi jelas program vaksinasi negara jelas masih di tahap yang tidak memuaskan dan membimbangkan.

Kekurangan ketara dalam kes kita adalah kelemahan infrastruktur dan integrasi teknologi digital dalam sistem repositori rekod kesihatan awam.

Laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) memperlihatkan kejayaan negara Israel dan United Kingdom (UK) melakukan vaksinasi menyeluruh dengan cepat disebabkan oleh kecekapan integrasi digital sistem kesihatan awam mereka yang terpusat sepenuhnya membolehkan keutamaan vaksin dilakukan berdasarkan data dan maklumat yang tepat.

Kedua negara itu menggunakan repositori digital rekod sejarah perubatan warganya yang dibina dan disimpan sejak 30 tahun dan boleh diakses pada bila-bila masa. Ini memudahkan sistem kesihatan mereka untuk mengesan dan berkomunikasi dengan tepat, cepat dan pantas.

Inilah yang perlu kita lakukan sekarang dan wajib dibangunkan untuk masa hadapan sekiranya kita berhadapan dengan apa-apa juga krisis serta musibah yang besar.

Aplikasi MySejahtera mungkin boleh dikembangkan dan dijadikan landasan kepada perkara tersebut.

Kaedah ‘first come, first serve’ yang diamalkan ketika ini juga perlu ditukar. Dilihat kaedah ini, selepas golongan rentan seperti warga emas dan berpenyakit kronik diberi vaksin telah menjadikan keutamaan vaksin akan menjadi lebih kompleks dan rencam seiring dengan perluasan liputan vaksin kepada kelompok umum.

Maka, kaedah memberikan vaksin secara berpusat juga perlu dinyah-pusatkan melalui konsep vaksinasi bergerak secara terus kepada masyarakat.

Secara mudah, kalau dulu ketika sesuatu kawasan dilanda wabak, maka Kementerian Kesihatan akan datang terus ke kawasan tersebut untuk melakukan kerja-kerja kawalan vektor. Maka mengapa ia tidak dihidupkan semula dalam konteks Covid-19 kali ini.

Benarkan juga negeri-negeri dan industri seperti kilang, penyedia perkhidmatan atau perusahaan besar untuk mendapatkan vaksin bagi pekerja masing-masing tanpa perlu menunggu.

Dengan jumlah populasi dan saiz wilayah Malaysia yang sederhana, imuniti kelompok menerusi program vaksinasi kita boleh dipercepatkan sekiranya kita mahu belajar dari negara-negara yang berjaya melakukannya.

Kita hanya perlu sedikit fleksibel dan menyesuaikannya dengan keadaan negara kerana asasnya sudah ada.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains PolitikFakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)