[INFOGRAFIK] Hari ini, negara kita terus bergelut dengan kes jangkitan Covid-19 yang semakin hari semakin membimbangkan.
Sehingga semalam, Malaysia telah mencatatkan 8,290 kes jangkitan baharu dengan 61 jumlah kematian.
Situasi ini berbeza sekali jika dibandingkan dengan tahun lalu yang mana dunia melihat Malaysia sebagai salah sebuah negara yang berjaya menguruskan penularan Covid-19 dengan berkesan.
Susulan itu, kita menjadi contoh kepada negara lain, khususnya dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.
Malah, satu dunia tidak putus-putus memuji kejayaan kerajaan dan petugas barisan hadapan yang mengawal wabak, sekali gus menurunkan lengkuk jangkitan.
Kini, kita bukan lagi contoh... Malaysia menjadi antara negara yang sedang berhempas pulas menangani penularan wabak berkenaan agar situasi kembali terkawal seperti sebelum ini.
Berdasarkan, data Pusat Kajian Strategik dan Antabangsa (CSIS) Asia Tenggara, Malaysia berada di tempat ketiga dalam senarai jangkitan kes Covid-19 terbanyak bagi negara ASEAN.
Dalam pada negara lain mula merosot jangkitan hariannya, negara kita mula menunjukkan trend peningkatan yang drastik sehingga mengatasi Indonesia, Filipina dan Thailand.
Sementara itu, Brunei yang mencatatkan angka jangkitan paling rendah dalam kalangan negara ASEAN mula membuka gerbang pelancongannya kepada negara lain, lapor CSIS.
Malah, pusat tersebut menjelaskan, Brunei juga telah membuka sektor ekonominya dan membenarkan persekolahan berjalan seperti biasa.
Selain itu, Kemboja dan Laos juga dilihat berjaya mengawal penularan Covid-19 dengan baik dan kedua-dua negara itu dijangka membuka kembali sektor ekonomi dan pelancongan masing-masing, tambah CSIS.
Kes Covid-19 di Malaysia bukan sahaja menunjukkan trend peningkatan pada jangkitan harian, malah ia turut menunjukkan peningkatan pada kematian harian.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seramai 791 orang telah meninggal dunia akibat Covid-19 sejak 1 Syawal lepas.
Jumlah tersebut merupakan satu angka yang besar dalam tempoh 16 hari dengan jumlah kematian harian tertinggi sebanyak 63 orang.
Situasi tersebut jelas menunjukkan negara kita sedang berdepan dengan saat genting dalam menguruskan penularan Covid-19.
Menurut Pakar Epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan angka kematian Covid-19 meningkat iaitu perkhidmatan kesihatan berada pada tahap genting, petugas kesihatan lesu dan pesakit positif lewat dibawa ke hospital.
Di samping itu, data KKM juga menunjukkan kita berdepan dengan peningkatan kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Lebih 500 kes ICU dilaporkan sehari sejak 13 Mei lepas sehingga jumlahnya mencecah ke angka tertinggi iaitu 808 kes pada 28 Mei 2021.
Sebagaimana semua sedia maklum, sistem kesihatan negara kita sedang tenat selain penggunaan fasiliti ICU di hospital kerajaan juga semakin meningkat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, situasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini amat teruk dengan 79 peratus katil ICU di hospital Covid-19 di negeri berkenaan telah digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.
Justeru, penting bagi kita sebagai rakyat yang prihatin dan bertanggungjawab untuk terus berada di rumah dan melakukan sekatan pergerakan kendiri bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, sekali gus membantu memulihkan kembali sistem kesihatan negara.
Lebih membimbangkan, kes mangsa dibawa sudah meninggal dunia atau Brought In Dead (BID) akibat jangkitan Covid-19 juga semakin meningkat di negara ini, jelas KKM.
Menerusi perkongsian di Facebook pada Jumaat, KKM memberikan tiga senario yang mungkin berlaku kepada mangsa-mangsa BID.
Senario 1
Bergejala seperti demam dan batuk. Pergi ke klinik untuk dapatkan ubat. Tidak buat ujian saringan Covid-19. Beberapa hari kemudian ditemui meninggal dunia di rumah.
Senario 2
Didapati positif Covid-19. Telah dilapor kepada KKM oleh klinik swasta. Ditemui meninggal di dunia di rumah sebelum dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau hospital.
Senario 3
Hilang deria rasa dan sangat letih tapi tidak mengambil serius gejala-gejala ini. Hanya berehat di rumah. Beberapa hari kemudian ditemui meninggal dunia di rumah.